Unimap lantik 120 duta kebolehpasaran graduan

Unimap lantik 120 duta kebolehpasaran graduan

MOHD Mustafa Al Bakri Abdullah bergambar bersama duta GE yang dilantik sebagai inisiatif bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan Unimap di Pauh Putra, Arau, Perlis.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Universiti Malaysia Perlis (Unimap) melalui Pusat Kebolehpasaran Graduan dan Keusahawanan (CGEE) melantik seramai 120 orang duta kebolehpasaran graduan (GE) sebagai inisiatif proaktif meningkatkan kebolehpasaran graduan universiti tersebut.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Unimap, Prof. Dr. Mohd. Mustafa Al Bakri Abdullah berkata, duta tersebut terdiri dalam kalangan pensyarah yang secara sukarela komited untuk membantu pelajar di setiap program dan fakulti.

Katanya, peranan utama duta berkenaan adalah menjadi penghubung antara pelajar dan industri, membimbing dalam aspek kerjaya dan menyediakan bank portfolio.

Ujarnya, selain itu, mereka juga berperanan melengkapkan graduan dengan kemahiran insaniah di luar bidang akademik serta menghubungkan pelajar dengan peluang pekerjaan sesuai dalam industri.

“Saya yakin bahawa inisiatif ini akan memberikan impak besar terhadap kebolehpasaran graduan Unimap.

“Duta GE ini memainkan peranan penting dalam memastikan graduan Unimap bukan sahaja bersedia daripada segi akademik tetapi juga memiliki daya saing yang tinggi untuk memasuki alam pekerjaan.

“Dengan usaha ini, kami mensasarkan kadar kebolehpasaran graduan sebanyak 98 peratus untuk tahun 2024 berbanding 97.7 peratus pada tahun 2023,” katanya.

Kata Mohd. Mustafa, inisiatif berkenaan juga sejajar dengan komitmen Unimap untuk menjadi institusi pendidikan tinggi yang berdaya saing dan relevan dalam memenuhi keperluan industri semasa seterusnya memacu aspirasi negara ke arah pembangunan modal insan berkualiti.

“Unimap optimis bahawa dengan sokongan berterusan daripada pelbagai pihak, graduan akan terus menjadi pilihan utama dalam pasaran pekerjaan domestik dan antarabangsa. Selain itu, Unimap turut melantik penyelaras alumni di peringkat fakulti bagi memperkukuh hubungan antara alumni dan universiti.

“Dengan langkah-langkah strategik ini, Unimap yakin dapat terus memperkasakan graduannya, sekali gus memastikan kebolehpasaran graduan berada pada tahap tertinggi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya