ARAU: Universiti Malaysia Perlis (Unimap) mengambil inisiatif mengukuhkan kerjasama bersama empat buah universiti di Thailand sekali gus menjayakan agenda kepengerusian ASEAN sebagai mana dihasratkan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Kerjasama tersebut membabitkan Walailak University (WU); RUTS Rajamangala University of Technology Srivijaya; Thaksin University dan Songkhla Rajabhat University.
Naib Canselor Unimap, Prof. Datuk Dr. Zaliman Sauli berkata, Malaysia kini memikul tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN iaitu satu kedudukan strategik untuk mengukuhkan kerjasama serantau dalam pelbagai bidang termasuk akademik yang semakin signifikan dalam landskap pembangunan rantau ini.
Katanya, Unimap yakin menerusi pelantikan sebagai pengerusi ASEAN itu, Malaysia melalui Kementerian Pengajian Tinggi akan memperkukuhkan lagi kerjasama pendidikan tinggi di peringkat rantau tersebut.
Ujarnya, ia membabitkan usaha meningkatkan mobiliti pelajar dan pensyarah serta mewujudkan satu ruang pendidikan serantau yang lebih integrasi dan berdaya saing.
“Seiring itu, Unimap juga telah melaksanakan pengukuhan kerjasama bersama empat universiti di Thailand dengan memberi penumpuan dalam bidang akademik dan penyelidikan berfokuskan pelajar dan juga komuniti global,” katanya di sini, semalam.
Katanya, kunjungan beliau ke universiti di Thailand itu juga untuk melihat dan meraikan pencapaian serta kecemerlangan dikecapi oleh empat universiti tersebut.
“Melalui perbincangan yang diadakan, kami memberi tumpuan bagi pembangunan program dwi ijazah untuk siswazah; mobiliti untuk pelajar dan kakitangan; penyelidikan bersama; penganjuran persidangan bersama dan latihan amali,” katanya.
Katanya, juga Unimap berhasrat membangunkan program dwi ijazah kepada pascasiswazah yang membolehkan pelajar memperoleh ijazah daripada kedua-dua buah institusi.
“Kerjasama ini akan memupuk perspektif akademik global yang akan melengkapkan graduan kami untuk berkembang maju dalam dunia tanpa sempadan ini.
“Malah program mobiliti kredit untuk mahasiswa juga akan memberikan mereka pengalaman menyelami kepelbagaian persekitaran akademik, meluaskan pandangan dan penerimaan serta daya ketahanan mereka.
“Selain itu, program latihan juga akan meningkatkan pengetahuan praktikal pelajar dan menyediakan mereka untuk cemerlang dalam kerjaya mereka,” katanya. – UTUSAN