UMNO Perak tidak sertai himpunan solidariti Najib - Utusan Malaysia

UMNO Perak tidak sertai himpunan solidariti Najib

SAARANI MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: UMNO Perak tidak akan menyertai himpunan solidariti bagi menyokong Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung isu Titah Adendum pada Isnin ini.

Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, keputusan itu selari dengan pendirian parti agar semua tindakan berkaitan bekas Perdana Menteri itu diselesaikan melalui saluran undang-undang yang sah.

“Ketetapan itu sejajar dengan titah Yang di-Pertuan Agong berhubung kuasa prerogatif baginda memberi pengampunan, menangguhkan hukuman, dan meringankan hukuman bagi kesalahan seperti yang digariskan di bawah Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.

“Sehubungan itu, Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak menyokong pendirian Ibu Pejabat UMNO agar semua tindakan berkaitan kes Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak diselesaikan melalui saluran undang-undang yang sah.

“Ini sejajar dengan titah Tuanku yang menganjurkan penghormatan kepada proses perundangan negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, UMNO tetap teguh mendukung kemuliaan institusi Raja-Raja Melayu serta menjunjung kedaulatan dan keluhuran undang-undang.

Beliau berkata, sehubungan itu UMNO Perak akur dengan ketetapan pihak berkuasa untuk tidak meneruskan perhimpunan yang dirancang pada 6 Januari ini.

Beliau berkata, UMNO Perak menaruh harapan tinggi agar pemimpin yang banyak berjasa kepada negara itu mendapat keadilan yang sebaik-baiknya.

“UMNO Perak menaruh keyakinan terhadap kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dalam mempertimbangkan rayuan terhadap kes tersebut,” katanya.

Semalam, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata, UMNO mengambil keputusan untuk tidak meneruskan perhimpunan pada Isnin ini yang bertujuan menyatakan solidariti terhadap Datuk Seri Najib Razak berhubung isu Titah Adendum.

Menurutnya, parti akur kepada segala saranan titah Yang di-Pertuan Agong  agar menghormati kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong, untuk menggunakan saluran perundangan ditetapkan dengan mengemukakan rayuan dalam perkara dihadapi bekas Perdana Menteri itu.

Sebelum ini, UMNO merancang untuk mengadakan perhimpunan di pekarangan Istana Kehakiman di Putrajaya pada Isnin depan bagi menyatakan solidariti terhadap Najib berhubung isu Titah Adendum.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya