PETALING JAYA: Beberapa badan perhubungan UMNO membatalkan arahan kepada ahlinya untuk menyertai himpunan solidariti bagi menyokong Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung isu Titah Adendum di Putrajaya esok.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Rozi Mamat berkata, keputusan itu sejajar dengan titah Yang di-Pertuan Agong berhubung kuasa prerogatif Seri Paduka memberi pengampunan, menangguhkan hukuman dan meringankan hukuman bagi kesalahan seperti yang digariskan di bawah Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.
“Sebagai sebuah parti yang mendokong prinsip kesetiaan kepada raja dan negara, titah Seri Paduka berkaitan kuasa kuasa prerogatif baginda mengikut Perkara 42 (1) dan (2) adalah dijunjung tinggi.
“UMNO Terengganu juga menghormati saranan yang telah dikeluarkan oleh Ketua Polis Negara berkaitan cadangan Perhimpunan Solidariti tersebut berhubung aspek keselamatan dan ketenteraman awam. Jadi keputusan UMNO membatalkan cadangan perhimpunan tersebut difahami berdasarkan justifikasi yang jelas dan bersesuaian dengan perkembangan semasa,” katanya dalam kenyataan semalam.
Katanya, UMNO Terengganu menzahirkan ucapan penghargaan kepada ahli-ahli seluruh negeri yang menunjukkan semangat dan pengorbanan yang tinggi untuk bersolidariti bersama-sama Najib.
Di IPOH, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, UMNO negeri tidak menyertai himpunan itu selari dengan pendirian parti agar semua tindakan berkaitan bekas Perdana Menteri diselesaikan melalui saluran undang-undang yang sah.
Menurutnya, UMNO tetap teguh mendukung kemuliaan institusi Raja-Raja Melayu serta menjunjung kedaulatan dan keluhuran undang-undang serta akur dengan ketetapan pihak berkuasa untuk tidak meneruskan perhimpunan yang dirancang pada 6 Januari ini.
Katanya, UMNO Perak menaruh harapan tinggi agar pemimpin yang banyak berjasa kepada negara itu mendapat keadilan yang sebaik-baiknya.
“UMNO Perak menaruh keyakinan terhadap kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dalam mempertimbangkan rayuan terhadap kes tersebut,” katanya.
Di GEORGE TOWN: Setiausaha UMNO Pulau Pinang, Datuk Dr. Shah Headan Ayoob Hussain Shah berkata, pihaknya menjunjung tinggi titah baginda serta berpegang teguh kepada prinsip kesetiaan kepada raja dan negara sebagaimana yang termaktub dalam Rukun Negara.
“Kami amat berharap agar segala ujian yang dihadapi pemimpin kami, Datuk Seri Najib Tun Razak serta parti keramat ini mendapat belas dan ehsan daripada Tuanku Agong dan segala isu berbangkit diyakini dapat diselesaikan menerusi proses Perlembagaan,” katanya.
Atas dasar ini katanya, mobilisasi akar umbi ke perhimpunan tersebut ditangguhkan.
Di ALOR SETAR: Pemuda UMNO Pokok Sena berpendapat setiap perhimpunan yang dianjurkan adalah suara yang harus didengari dan diangkat seperti mana keadilan dan kedaulatan undang-undang yang merupakan hak setiap rakyat.
Ketuanya, Mohd. Farhan Ahmad berkata, ia adalah tunjang masyarakat seperti mana tersemat dalam Rukun Negara di samping menzahirkan kesetiaan kepada raja dan negara.
“Saya memohon semua pihak untuk kembali fokus kepada tujuan asal perhimpunan ini. Solidariti kepada usaha Presiden UMNO dan Yang di-Pertuan Agong ke-16 mengenai kewujudan titah adendum adalah penting.
“Tidak salah bagi mana-mana pihaak untuk berhimpun menunjukkan solidariti dan kasih kepada Datuk Seri Najib Tun Razak. Mohon tiada pihak yang cuba guna kenyataan Peguam Negara dan titah terbaru Yang di-Pertuan Agong untuk menggagalkan himpunan esok,” katanya kepada Mingguan Malaysia.- UTUSAN