PETALING JAYA: UMNO memohon Yang di-Pertuan Agong untuk memberikan pengampunan penuh kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selaras Perlembagaan Persekutuan.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO menjunjung kasih Sultan Pahang, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang memperakukan Titah Adendum berkenaan penahanan dalam rumah untuk Najib adalah wujud dan sahih.
Katanya, UMNO menghormati proses perundangan yang sedang berlangsung dan akan terus memperjuangkan keadilan buat Najib.
“Perakuan kesahihan Titah Addendum ini yang dizahirkan oleh Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang membuktikan kebenaran afidavit tambahan menyokong petisyen Najib yang telah dibuat oleh saya dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sebelum ini.
“Saya juga ingin menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada ahli-ahli UMNO serta penyokong setia yang tidak pernah lelah memberikan sokongan dan doa sepanjang perjalanan ini.
“UMNO memohon ihsan, kebijaksanaan dan keadilan Yang di-Pertuan Agong untuk memberikan pengampunan penuh buat Datuk Seri Najib selaras kuasa prerogatif Baginda di bawah peruntukan Perkara 42 (1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Mahkamah Rayuan memberikan kebenaran kepada Najib untuk mencabar perintah penahanan di rumah bagi baki hukuman penjara yang dihadapinya.
Sebelum itu, peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah baru membacakan sebahagian surat daripada Sultan Abdullah Ri’ayatuddin yang juga bekas Yang di-Pertuan Agong ke-16 mengesahkan kewujudan perintah tambahan tahanan dalam rumah untuk Najib.
Antara isi surat itu berbunyi ‘Sehubungan dengan itu, saya bagi pihak Sultan Pahang dengan ini memperakukan bahawa titah adendum termaksud adalah wujud dan sahih.’
Surat itu dibacakan pada prosiding permohonan Najib untuk memasukkan bukti baharu berkenaan titah tambahan itu. – UTUSAN