PETALING JAYA: Pas dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) disaran untuk membatalkan hasrat himpunan solidariti untuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Isnin ini di Putrajaya.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi berkata, UMNO adalah parti yang mempertahankan Kedaulatan Raja-Raja Melayu.
Oleh itu, menurut beliau, UMNO menerima nasihat Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim serta yakin pada ihsan dan kebijaksanaan Agong agar Najib mendapat keadilan penuh.
“Ramai pemberita tanya pendirian saya mengenai pembatalan perhimpunan Solidariti Najib pada Isnin ini. Saya sokong kerana ia keputusan parti.
“Justeru amat wajar Pas dan NGO lain membatalkan hasrat mereka. Kalau UMNO sebagai pihak yang terkesan langsung dengan kes Najib, maka kenapa tidak parti lain turut membuat keputusan sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, UMNO mengambil keputusan untuk tidak meneruskan perhimpunan solidariti bersama Najib, atas prinsip menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong.
Perkembangan ini susulan kenyataan Istana Negara, yang mengingatkan semua pihak agar menghormati Perlembagaan dan undang-undang bagi memohon keampunan atau pengurangan hukuman seseorang banduan.
Setiausaha Agungnya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya akur dengan saranan titah agar menghormati kuasa prerogatif Agong untuk menggunakan saluran perundangan yang ditetapkan. – UTUSAN