UMNO junjung titah Agong, tidak sertai himpunan solidariti Najib

UMNO junjung titah Agong, tidak sertai himpunan solidariti Najib

ASYRAF WAJDI DUSUKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : UMNO mengambil keputusan untuk tidak meneruskan perhimpunan solidariti bersama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, atas prinsip menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong.

Perkembangan ini susulan kenyataan Istana Negara, yang mengingatkan semua pihak agar menghormati Perlembagaan dan undang-undang bagi memohon keampunan atau pengurangan hukuman seseorang banduan.

Setiausaha Agungnya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya akur dengan saranan titah agar menghormati kuasa prerogatif Agong untuk menggunakan saluran perundangan yang ditetapkan.

“UMNO menaruh sepenuh keyakinan atas keihsanan dan kebijaksanaan baginda dalam memberikan keadilan penuh kepada Najib.

“UMNO menjunjung hormat titah kenyataan Agong berhubung dengan kuasa prerogatif menurut peruntukan Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan untuk memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi apa jua kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya,” katanya menerusi kenyataan.

Sebelum ini, perhimpunan dirancang  diadakan pada Isnin ini iaitu hari Mahkamah Rayuan mendengar rayuan Najib, terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan titah adendum yang dikatakan dikeluarkan Agong terdahulu berhubung tahanan rumah.

UMNO dan Pas dilaporkan akan menyertai himpunan itu.

Terdahulu, Istana Negara dalam kenyataan memaklumkan, Agong mempunyai kuasa prerogatif menurut peruntukan Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan untuk memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi kesalahan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Baginda juga boleh meremit, menggantung atau meringankan hukuman dijatuhkan mahkamah bagi kesalahan tersebut, dengan kuasa itu dijalankan atas nasihat Lembaga Pengampunan dipengerusikannya.

Oleh itu, sekiranya mana-mana pihak ingin mencadangkan supaya mana-mana banduan untuk diberi keampunan atau pengurangan hukuman, permohonan berkenaan hendaklah dikemukakan banduan berkenaan untuk dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan dipengerusikan Agong pada mesyuarat akan datang, katanya.

Pada 28 Disember lepas, Jabatan Peguam Negara berkata, permohonan pengampunan termasuk menghabiskan baki hukuman penjara di rumah mana-mana banduan termasuk Najib perlu dikemukakan kepada Lembaga Pengampunan.

Katanya, permohonan itu perlu dilakukan mengikut tatacara dan saluran ditetapkan, di bawah undang-undang, bukannya mana-mana saluran lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya