'UMNO, DAP retak menanti belah'

‘UMNO, DAP retak menanti belah’

HASHIM JASIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pertembungan antara Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh dan Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming yang berbalas serangan memberi isyarat hubungan dua parti itu ibarat retak menanti belah.

Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, beliau percaya hubungan kedua-dua parti itu tidak mampu bertahan lama memandangkan kebanyakan pemimpin atau akar umbi UMNO termasuk Muhamad Akmal sendiri mempunyai roh perjuangan Islam dan Melayu yang kuat.

Katanya, UMNO sebenarnya sudah boleh menilai tindak-tanduk DAP itu yang tidak nampak sebarang kebaikan jika terus bersama.

“Pertembungan Ketua Pemuda UMNO ini dengan Kor Ming menunjukkan (Muhamad Akmal) atau UMNO masih mempunya roh dan semangat Islam yang kuat.

“Saya juga percaya bahawa Muhamad Akmal ini tidak berseorangan dan mempunyai pengaruh yang kuat berdepan pemimpin DAP ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Terdahulu, Kor Ming yang juga Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan memaklumkan bahawa beliau tidak berminat untuk melayan mahupun bergaduh dengan Muhamad Akmal serta tidak akan merendahkan martabatnya dengan melayan kerenah Ketua Pemuda UMNO itu.

“Dari kedudukan saya, komen saya, ‘Singa tidak berdebat dengan lalat’. Dia tidak setaraf, jadi kami tidak akan bergaduh,” kata Kor Ming yang dipetik dalam wawancara dengan akhbar Cina.

Sebelum itu, Muhamad Akmal ‘menyekolahkan’ Kor Ming berhubung isu sandwic ‘ham’ yang dijual di KK Mart di kampus Universiti Malaya (UM) dengan menggunakan logo halal yang tidak sah.

Ia rentetan, Kor Ming yang sebelum itu berkata, ‘ham’ hanya merujuk kepada daging telah diawet serta terdapat ham ayam Belanda dan ham ayam yang sesuai untuk dimakan dan menjadikan perkara tersebut sebagai isu hanya menunjukkan siapa sebenarnya yang bodoh.

Sementara itu, Hashim percaya akan tiba masanya tidak lama lagi perpaduan ummah akan hidup dan subur di negara ini dengan kerjasama parti-parti Melayu Islam.

Dalam pada itu, Hashim berkata, Pas tidak akan bersama Kerajaan Perpaduan selagi DAP masih berada di dalam kerajaan berkenaan.

“Kita mempunyai kerusi yang agak banyak (43) kerusi dan boleh sahaja mempertimbangkan masuk kerajaan Perpaduan namun dengan syarat DAP tidak ada. Kita juga agak kecewa dengan PKR yang dilihat tidak meletakkan Islam sebagai keutamaan dalam perjuangan mereka.

“PKR, Parti Amanah Negara (Amanah) dan UMNO sendiri sunyi sepi jika ada dalam kalangan pemimpin DAP ini menyinggung Islam. Tidak sepatutnya parti-parti Islam ini bekerjasama dengan DAP dan mungkin berkawan disebabkan kuasa semata-mata memandangkan DAP mempunyai 40 kerusi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya