BESUT: Seekor ular sawa batik seberat 130 kilogram ditangkap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Besut di Kampung Batu 13 di sini, Sabtu lalu.
Pegawai Operasi APM Daerah Besut, Lt (PA) Mohd. Fazli Mat Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehadiran reptilia itu kira-kira pukul 5.55 petang dan sepasukan anggota digerakkan ke lokasi.
“Reptilia sepanjang lima meter itu berada di kawasan belakang rumah penduduk yang mana kita mengambil masa kira-kira 15 minit untuk menangkapnya.
“Ular ini dipercayai datang dari kebun sawit berhampiran keranai kawasan terbabit mempunyai haiwan ternakan yang menjadi tarikan kepadanya,” katanya ketika ditemui di Pejabat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Besut di Jertih hari ini.
Katanya, haiwan itu adalah ular sawa batik yang ke-19 ditangkap pihaknya sepanjang bulan ini.
Reptilia itu diserahkan kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan selanjutnya. – UTUSAN