KEPALA BATAS : Polis Pulau Pinang kini sedang menunggu arahan lanjut daripada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) berhubung kes ugutan jenayah yang dikaitkan dengan anak seorang menteri Kabinet, baru-baru ini.
Ketua Polis negeri, Datuk Hamzah Ahmad berkata, ketika ini, siasatan berhubung kes itu sudah dihantar ke pejabat TPR untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
“Kami sudah serahkan kepada kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk sebarang ulasan dan tindakan lanjut,” katanya ketika pemberita selepas merasmikan Program Gempur Dadah Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pulau Pinang di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kepala Batas di sini, hari ini.
Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, polis sudah melengkapkan kertas siasatan kes ugutan jenayah yang dikaitkan dengan anak seorang menteri Kabinet seperti tular di media sosial sebelum ini.
Katanya, polis juga sudah merakam percakapan terhadap semua pihak yang terlibat dalam kes berkenaan dan kertas siasatan sudah dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya selepas laporan polis yang dibuat oleh pengadu pada 1 Januari lalu.
Sebelum ini, tular dalam aplikasi Telegram kes membabitkan anak seorang menteri, yang dilaporkan telah mengugut seorang wanita yang memintanya bertanggungjawab atas kandungan sejak tujuh minggu lalu.
Kejadian ugutan itu dilaporkan berlaku ketika anak menteri terbabit sedang berbincang bersama wanita tersebut dan beberapa saksi lain di sebuah rumah di Telok Air Tawar, Butterworth, Pulau Pinang, pada 24 Disember tahun lalu.
Pada masa ini siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.-UTUSAN