KUALA LUMPUR: Kolej Universiti Antarabangsa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (UCMI) sedang dalam perancangan untuk dinaik taraf sebagai universiti penuh.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, selaku jabatan yang meneraju hal ehwal agama, institusi di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) akan dibangunkan bagi keperluan modal insan serta pembangunan ilmu.
Katanya, sokongan sentiasa diberikan terutama dalam menunjukkan usaha UCMI bagi menyediakan pendidikan berkualiti untuk golongan asnaf.
“Kami akan terus menyokong UCMI dan institusi-institusi lain dalam agenda pemerkasaan pendidikan ummah demi melahirkan generasi yang kompeten dan berdaya saing.
“Insya-Allah semua usaha ini akan terus menyumbang kepada kecemerlangan pendidikan dan kesejahteraan ummah di negara kita,” katanya ketika sidang media sempena Majlis Konvokesyen Kali Ke-15 UCMI di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini hari ini.
Sidang ini juga menghargai kejayaan graduan dengan tiga anugerah utama iaitu Anugerah Canselor, Anugerah Pingat Emas Perdana MAIWP dan Anugerah Naib Canselor.
Anugerah itu diberikan kepada tiga graduan terbaik merangkumi pemberian wang tunai, plak iringan dan sijil.
Tambah Mohd. Na’im, sumbangan berjumlah RM25 juta juga disalurkan oleh Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) merangkumi elaun sara diri, yuran pengajian asasi dan biasiswa.
“Ini jelas menunjukkan komitmen Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk memastikan anak-anak asnaf dapat keluar daripada kitaran kemiskinan dan menjadi penyumbang kepada masyarakat.
“Melalui pendidikan, MAIWP berusaha merealisasikan slogan ‘daripada penerima zakat kepada pembayar zakat’,” katanya. – UTUSAN