PETALING JAYA: Meleraikan spekulasi rumah tangga sedang bergolak, penyanyi dan aktivis kemanusiaan, Nur Heliza Helmi berkongsi titipan ucapan suaminya, Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman sempena ulang tahun perkahwinan mereka yang ketiga.
Menerusi perkongsian di Instagram, suami kepada penyanyi itu turut menzahirkan rasa bersyukur kerana bahtera perkahwinan mereka kekal bertahan sehingga hari ini.
“Alhamdulillah, hari ini genap tiga tahun kita melayari bahtera perkahwinan bersama. Setiap detik bersamamu adalah nikmat yang tidak pernah henti aku syukuri kepada Allah. Kehadiranmu dalam hidupku adalah tanda kasih sayang Allah yang terbesar buatku,” katanya.
Turut berkongsi foto manis bersama, Mahadi menyifatkan kehadiran Heliza sebagai pelengkap hidupnya selain berharap perkahwinan mereka terus berkekalan sehingga ke jannah.
“Engkaulah bidadariku di dunia ini, penyejuk mata, dan pelengkap separuh agamaku. Aku berdoa agar cinta kita sentiasa diberkati, diredhai dan dipimpin oleh Allah menuju syurgaNya.
“Semoga Allah terus menguatkan cinta kita, mengurniakan ketenangan dalam rumah tangga kita dan menjadikan kita pasangan yang saling menguatkan di jalanNya.
“Selamat ulang tahun perkahwinan yang ketiga, Aku mencintaimu kerana Allah dan semoga perjalanan kita ini kekal hingga ke akhir hayat dengan limpahan rahmat dan kasih sayangNya,” jelasnya.
Sebelum ini, timbul dakwaan rumah tangga aktivis itu bersama suaminya sedang dilanda badai.
Terkejut dengan khabar angin itu, Heliza bagaimanapun tegas menafikan dan memberitahu rumah tangga mereka baik-baik sahaja.
Untuk info, Heliza dan Mahadi mendirikan rumah tangga pada 1 Januari 2022.