PETALING JAYA: Dalam usaha meningkatkan pembangunan negara, pelbagai inisiatif dan usaha dilaksanakan bagi memastikan semuanya seimbang.
Sebagai bakal penyedia rangkaian 5G kedua Malaysia dan peneraju transformasi digital Malaysia, U Mobile menggalas tanggungjawab membantu orang ramai terutama dalam situasi bencana yang memberi kesan signifikan kepada masyarakat setempat.
BANTUAN BENCANA
Banjir yang melanda Pantai Timur menjadi titik tolak U Mobile untuk memperkukuhkan usaha dan terus berkhidmat kepada golongan memerlukan.
Bermula dengan sumbangan dana bantuan banjir berjumlah RM3.5 juta, pelbagai usaha dilakukan bagi memastikan pemberian sumbangan adalah seimbang dan bermanfaat.
Peruntukan RM3 juta disediakan khas untuk Dana Ihsan MADANI dengan selebihnya diberikan kepada beberapa agensi terlibat sebagai usaha bersama.
Tidak hanya bergerak sendiri, U Mobile turut berkolaborasi bersama Kementerian Komunikasi, Pertubuhan Kebajikan Kanak-Kanak dan Wanita (KAWAN) dan MERCY Malaysia.
Berdepan capaian komunikasi sebagai cabaran utama, langkah proaktif juga diambil menerusi kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Antaranya menerusi sambungan percuma yang disediakan di pusat pemindahan sementara (PPS) agar penduduk terjejas mampu kekal berhubung selain meningkatkan kecekapan operasi bantuan dan penyelamatan.
Memikirkan perancangan satu langkah ke hadapan, U Mobile dengan kemudahan telekomunikasi sedia ada turut melakukan koordinasi bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) untuk pemakluman amaran awal banjir melalui sistem khidmat pesanan ringkas (SMS).
Bukan hanya tertumpu kepada bencana di Pantai Timur, syarikat telekomunikasi itu juga menyediakan bantuan untuk masyarakat di Penampang, Sabah yang terkesan akibat banjir buruk pada Julai lalu.
Ketika itu, gandingan rapat diadakan bersama MERCY Malaysia dalam usaha menggerakkan kit pemulihan bagi penduduk terjejas.
Sumbangan pula tidak terhad hanya kepada aspek kewangan, malah, pihak U Mobile juga sedang dalam proses untuk memberikan bantuan tenaga kerja oleh kakitangan sebagai sukarelawan.
Melihat kepada jangka masa panjang, bantuan tenaga kerja itu bertujuan bagi pemulihan pasca banjir, memastikan sokongan di lapangan dalam proses pembinaan semula di kawasan terjejas.
INISIATIF BELIA SIHAT
Menjadikan golongan muda sebagai manifestasi masa hadapan, U Mobile selaku Rakan Telekom Rasmi giat mempromosi keterlibatan belia menerusi tajaan Forum Ekonomi Belia (YEF) pada Oktober lalu.
YEF merupakan sebuah platform dinamik yang menghimpunkan golongan belia yang dianggap bakal pemimpin, inovator dan pencipta di Malaysia.
Menghimpunkan lebih 1,200 delegasi, YEF memberi peluang kepada belia untuk terlibat secara aktif dan berkolaborasi erat dalam membincangkan sektor ekonomi negara yang kian membangun.
Selain itu, U Mobile dengan bangga berkolaborasi dengan Olimpik Khas Malaysia (SOM) dalam menyokong atlet kurang upaya intelektual melalui penajaan Pasukan Malaysia di Sukan Olimpik Khas di Berlin pada 2023.
U Mobile terus menunjukkan komitmennya dengan menaja Kejohanan Badminton Bersepadu Kebangsaan 2024, sejajar dengan usaha memperkasakan keterangkuman dalam sukan.
Menjadi peneraju untuk bidang telekomunikasi, dedikasi U Mobile dilihat melangkaui sekadar perkhidmatan itu dengan dilihat melalui nilai dan impak positif yang dapat disumbangkan kepada masyarakat secara berterusan.
Menyokong dalam penyelarasan dasar kerajaan, syarikat itu meletakkan komitmen terhadap keterangkuman dan sokongan masyarakat.
U Mobile komited menyokong aspirasi Malaysia dalam menjadi negara berpendapatan tinggi berasaskan teknologi terutama pendigitalan komuniti.
Segala usaha yang dijalankan mencerminkan komitmen U Mobile terhadap Malaysia yang bersatu dan maju.