Tze Yong perjuang seni kaligrafi Cina sejak 10 tahun

Tze Yong perjuang seni kaligrafi Cina sejak 10 tahun

KHOO Tze Yong (kanan) mendalami penghasilan seni kaligrafi Cina sejak berusia 10 tahun di Padang Besar, Perlis. - UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Seni kaligrafi Cina merupakan hasil dekorasi hiasan masyarakat Tionghua khususnya dalam meraikan perayaan Tahun Baharu Cina.

Lazimnya, seni kaligrafi Cina itu dihasilkan dengan tulisan tertentu yang dipercayai membawa maksud dan nasib baik dalam kehidupan seseorang di samping memeriahkan suasana sambutan perayaan berkenaan.

Sambutan perayaan Tahun Baharu Cina juga tidak lengkap tanpa hiasan kaligrafi yang kebiasaan dilekatkan di dinding, pintu rumah, tokong atau premis didiami.

Bagi seorang bekas pensyarah, Khoo Tze Yong, 65, dia tidak melepaskan peluang menghasilkan seni kaligrafi setiap tahun sempena Tahun Baharu Cina bagi menyemarakkan lagi suasana perayaan berkenaan.

Tze Yong berkata, dia mula mempelajari seni kaligrafi Cina sejak berusia 10 tahun dan bertitik tolak daripada situ, minatnya terhadap penghasilan hiasan berkenaan semakin mendalam.

Dia mula belajar menghasilkan kaligrafi Cina tersebut sewaktu belajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Peng Min, Alor Setar.Lama kelamaan, minat itu mula timbul dan masih meneruskannya sehingga kini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, semalam.

Menurut Tze Yong, penghasilan kaligrafi pada musim perayaan Tahun Baharu Cina itu kebiasaan akan menggunakan kertas berwarna merah manakala pada hari biasa, ia dihasilkan menggunakan kertas putih.

Katanya, antara perkataan yang ditulis pada kertas berkenaan adalah seperti Cai (kekayaan), An (keselamatan) dan Fu (kemakmuran).

“Pada musim perayaan, saya dan ahli keluarga sememangnya akan menghias rumah di Kuala Perlis dengan seni kaligrafi ini bagi menyemarakkan lagi sambutan Tahun Baharu Cina dan menjadi rutin setiap tahun.

“Di Perlis sahaja, saya telah memperjuangkan penghasilan kaligrafi Cina ini selama 10 tahun dan usaha itu masih diteruskan sehingga kini,” katanya.

Kata Tze Yong, dalam usaha memperkenalkan kaligrafi Cina buat masyarakat, dia turut menganjurkan kelas penghasilan seni itu pada setiap hari Selasa di kawasan Padang Besar.

“Tulisan seni kaligrafi ini merupakan budaya masyarakat Tionghua dan saya cuba mempertahankannya dengan mengajak orang lain untuk bersama-sama dalam usaha ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya