TVET: 41 projek baharu infrastruktur di politeknik, kolej komuniti tahun ini

TVET: 41 projek baharu infrastruktur di politeknik, kolej komuniti tahun ini

MOHAMAD Azhan Md. Amir (tiga dari kiri) beramah mesra dengan para penerima sijil penghargaan pada Majlis Penyerahan Surat Pemakluman Projek RMK12 Rolling Plan Kelima Tahun 20205 di Politeknik Port Dickson hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) menerima peruntukan pembangunan sebanyak lebih RM430 juta bagi menaik taraf infrastruktur di kedua-kedua institut pendidikan tinggi itu sebagai usaha memperkasakan lagi bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Mohamad Azhan Md Amir berkata, peruntukan tersebut adalah bagi pelaksanaan 70 projek sambungan dan 41 projek baharu tahun ini.

Menurutnya, peruntukan di bawah Belanjawan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) itu adalah lebih tinggi yang diterima institut berkenaan berbanding tahun sebelumnya.

“Untuk tahun ini jumlah (peruntukan) lebih daripada tahun sebelumnya kerana dasar kerajaan waktu sekarang ingin memperkasakan TVET dan apabila kita bercakap soal TVET sudah tentu kita tidak boleh nafikan peranan politeknik dan kolej komuniti.

“Peruntukan ini melibatkan projek-projek pembangunan kampus baharu, perolehan tanah bagi kampus baharu dan perolehan peralatan baharu selain penggantian peralatan akademik usang, pembinaan tambahan bangunan, kerja-kerja menaik taraf infrastruktur dan bangunan, pembangunan program serta pembangunan digital.

“Daripada jumlah berkenaan, sebanyak RM41.6 juta diperuntukkan untuk projek menaik taraf infrastruktur usang,” katanya pada Majlis Penyerahan Surat Pemakluman Projek RMK12 Rolling Plan Kelima Tahun 2025 dan Peluncuran Rancangan Pembangunan Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) 10 Tahun (2026-2035) di Politeknik Port Dickson, di sini, hari ini.

Ujar Mohamad Azhan lagi, bagi memastikan golongan orang kurang upaya (OKU) tidak terpinggir, sebanyak RM 5 juta turut diperuntukkan untuk pembinaan infrastruktur bagi golongan tersebut.

“Pelaksanaan projek-projek berkenaan dijangka dapat menyokong aspirasi pemerkasaan TVET negara seperti yang digariskan dalam Dasar TVET Negara serta Hala Tuju Transformasi Politeknik dan Pemerkasaan Kolej Komuniti,” katanya.

Dalam pada itu, ujar beliau, pelancaran POLYCC 10 Tahun bertujuan memberikan hala tuju strategik dalam memperkukuh peranan institusi itu dalam ekosistem TVET negara, seterusnya menyumbang kepada pembangunan tenaga kerja mahir negara.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya