PARIT BUNTAR: Lebih 200 pesawah di Kerian mengadakan perhimpunan sebagai membantah penurunan harga belian padi seperti yang didakwa Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah) baru-baru ini.
Wakil pesawah di sini berkata, penurunan harga belian padi kepada RM1,300 satu tan metrik itu tidak relevan dan membebankan mereka berbanding harga semasa, iaitu sekitar RM1,500 hingga RM1,800.
Wakil pesawah Sungai Bakau, Mohd Reduan Maharane, 70, berkata, pengilang membeli pada harga RM1,300 satu tan metrik tetapi itu tidak termasuk pemotongan permutuan kira-kira 20 peratus.
“Ini bermakna daripada berat satu tan, yang tinggal hanya 800 kilogram. Macam mana kami nak bayar upah mesin, traktor, benih, dan kos hidup. Harga belian baharu ini membebankan kami,” katanya di sini semalam.
Pesawah dalam kenyataan baru-baru ini mendakwa, harga belian padi telah diturunkan kepada RM1,300 satu tan metrik berbanding harga semasa, iaitu sekitar RM1,500 hingga RM1,800.
Keputusan itu telah dimuktamadkan pada mesyuarat pengilang-pengilang beras bersama Ketua Pengarah Bahagian Industri Padi dan Beras (IPB), baru-baru ini.
Namun, semalam, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menafikan terdapat sebarang arahan atau keputusan berkaitan penurunan harga belian padi sebagaimana didakwa oleh Pesawah.
Wakil pesawah dari Tanjung Piandang, Abd Rahim Omar, 60, pula menyifatkan harga belian baharu yang diputuskan itu menunjukkan tindakan kerajaan dan pengilang tidak memahami realiti kehidupan pesawah yang semakin tertekan dengan kos sara hidup yang meningkat.
“Kami berharap pihak yang berkenaan turun padang melihat sendiri kesusahan yang kami alami yang semakin tertekan dengan pengumuman harga belian padi diturunkan,” katanya.
Timbalan Pengerusi Pesawah, Azhar Hashim menyelar keputusan menurunkan harga belian padi yang dibuat tanpa kehadiran wakil pesawah.
“Pesawah mendesak kerajaan mengkaji semula harga minimum padi dengan mengambil kira kos sebenar yang ditanggung pesawah.
“Mereka berharap rintihan ini diambil perhatian kerana ia melibatkan kelangsungan hidup ribuan keluarga pesawah di seluruh negara,” katanya. – UTUSAN