Tukang urut didakwa amang seksual terhadap anak asuhan isteri

Tukang urut didakwa amang seksual terhadap anak asuhan isteri

A. NASIR Abdul Karim dibawa ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak asuhan isterinya. - UTUSAN/BAAZLAN IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang tukang turut dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan kesalahan amang seksual fizikal terhadap anak asuhan isterinya di sebuah rumah di Felda Taib Andak, Kulai, tiga tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, A. Nasir Abdul Karim, 54, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan itu yang dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Siti Noraida Sulaiman.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu dituduh melakukan kesalahan amang seksual fizikal ke atas kanak-kanak perempuan yang pada ketika itu berusia enam tahun dengan cara memegang kemaluan dan payudaranya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di dalam bilik air dapur rumah suspek di Jalan Songket 1, Taman Anjaria, Felda Taib Andak, sekitar 2022.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah akta yang sama.

Bagi perbuatan itu, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga dihukum dengan hukuman sebat, jika disabit kesalahan.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Fadilah Johanuddin manakala tertuduh diwakili peguam, Syufri A. Samad.

Pihak pendakwaan mencadangkan kepada mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan dilarang mengganggu mangsa, keluarganya dan saksi pendakwaan selain melapor diri ke balai polis berhampiran serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Syufri memohon jaminan yang ringan memandangkan mangsa yang merupakan tukung urut dan mengubat orang tidak mempunyai pendapatan tetap, menghidap kencing manis dan isterinya tidak lagi menjadi pengasuh selepas dia ditangkap pada 11 Januari ini.

Hakim Siti Noraida membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan perlu melapor diri ke balai polis berhampiran, tidak boleh mengganggu mangsa, keluarganya dan saksi pendakwaan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan tarikh 24 Februari depan sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya