Tukang tilik wanita Indonesia, kekasih dipenjara dua bulan, denda RM1,000 - Utusan Malaysia

Tukang tilik wanita Indonesia, kekasih dipenjara dua bulan, denda RM1,000

HERLIN Juita (kiri) dibawa ke Mahkamah Tinggi Syariah Seremban hari ini atas pertuduhan melakukan perbuatan berlawanan dengan hukum syarak iaitu menilik nasib menggunakan kad tarot, tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang wanita Indonesia dan kekasih ‘pengkid’nya dipenjara dua bulan dan didenda RM1,000 di Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini atas pertuduhan melakukan perbuatan berlawanan dengan hukum syarak iaitu menilik nasib menggunakan kad tarot, tahun lalu.

Hakim , Zulfikri Yasoa menjatuhkan hukuman itu terhadap Herlin Juita, 39, dan Noriah Mahamad Isa, 40, selepas kedua-dua mereka mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dikenakan hukuman tambahan penjara tujuh hari sekiranya tertuduh gagal membayar denda.

Bagaimanapun, difahamkan kedua-dua tertuduh telah menjelaskan denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, Herlin Juita didapati melakukan perbuatan yang berlawanan dengan hukum syarak iaitu menilik nasib menggunakan kad tarot melalui aplikasi TikTok yang berdaftar di atas akaun @princess_herlin.

Kesalahan itu dilakukan pada 13 Disember 2024 lebih kurang antara pukul 5 petang hingga 7 petang di sebuah rumah di Taman Tiara Sendayan, di sini.

Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992.

Jika Sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Noriah pula didapati bersubahat dengan Herlin melakukan perbuatan tersebut dengan menjadi pembantu untuk menaikkan jumlah penonton dan menarik perhatian penonton untuk menarik pelanggan.

Bagi kesalahan berkenaan, dia didakwa di bawah Seksyen 35 yang dibacakan bersama dengan Seksyen 52 Enakmen Undang-Undang Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992.

Pihak pendakwaan dikendalikan oleh Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Sembilan, Azizuddin Abdullah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum ini, media melaporkan pada 18 Disember lalu seorang wanita warga Indonesia dikesan aktif melakukan aktiviti khurafat dengan menilik nasib pelanggan menggunakan kad tarot di media sosial TikTok sehingga mampu memperoleh pendapatan agak lumayan.

Kegiatan wanita beragama Islam itu dan kekasihnya seorang pengkid masing-masing berusia 30-an bagaimanapun berjaya dihidu Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Negeri Sembilan (JHEAINS) baru-baru ini.

Difahamkan berdasarkan siasatan, mereka disyaki mampu memperoleh lebih RM100 dalam tempoh dua jam hasil aktiviti menilik nasib itu dengan mengenakan bayaran tertentu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya