KUALA SELANGOR: Tiga cedera selepas tiga kenderaan termasuk sebuah lori tangki terbabit dalam kemalangan yang mengakibatkan kebakaran dekat Jalan Klang – Teluk Intan dekat Pasir Penambang, di sini, hari ini.
Kemalangan tersebut turut melibatkan dua kanak-kanak dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, namun mereka selamat dan tidak mengalami kecederaan.
Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, kemalangan tersebut melibatkan sebuah lori tangki membawa minyak sawit, Toyota Alphard dan Proton Saga.
Menurutnya, bomba menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 2.19 petang sebelum mengerahkan sepasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Selangor ke tempat kejadian bagi operasi menyelamat dan memadam kebakaran.
“Kebakaran turut melibatkan kesemua kenderaan. Lori terbakar 80 peratus, Toyota Alphard 20 peratus dan Proton Saga 90 peratus.
“Mangsa, seorang lelaki pemandu lori cedera di bahagian kepala dan leher, dua lelaki menaiki Toyota Alphard cedera ringan dan seorang lelaki menaiki Proton Saga cedera di kepala dan badan. Api berjaya dikawal kira-kira pukul 2.31 petang,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambah Ahmad Mukhlis, kesemua mangsa yang cedera dibawa ke hospital berdekatan untuk menerima rawatan.
Terdahulu Utusan Malaysia melaporkan sebuah video tular memaparkan kejadian kemalangan melibatkan sebuah lori yang terbalik serta terbakar dan menyebabkan lorong arah utara di tempat kejadian terhalang selain kesesakan teruk di jalan berkenaan.
Kebakaran akibat kemalangan tersebut mencetuskan asap tebal yang kelihatan dari pusat bandar Kuala Selangor. – UTUSAN