Tujuh pertuduhan Muhyiddin dibicara bersama

Tujuh pertuduhan Muhyiddin dibicara bersama

Bekas Perdana Menteri, Tan Seri Muhyiddin Yassin ketika hadir di Mahkamah Kuala Lumpur di sini hari ini. UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kesemua tujuh pertuduhan yang dihadapi oleh bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan dibicarakan bersama di Mahkamah Sesyen di sini.

Hakim Azura Alwi memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin.

Dalam penghakiman ringkasnya, Azura berkata selepas meneliti afidavit dan hujahan pihak-pihak terlibat, beliau mendapati permohonan pendakwaan telah memenuhi kriteria.

“Berdasarkan pertuduhan-pertuduhan yang terdapat dalam kes-kes tersebut dan pendirian yang telah dinyatakan pendakwaan, mahkamah berpuas hati bahawa keperluan sebagaimana peruntukkan dalam Seksyen 165 Kanun Tatacara Jenayah telah dipenuhi bagi membolehkan kes-kes digabungkan dan dibicarakan sekali.

“Ini adalah bagi memastikan keadilan dan untuk menjimatkan masa semua pihak serta mengelakkan sebarang kesukaran terutama pada saksi-saksi yang sama. Justeru itu, mahkamah berpendapat tiada sebarang prejudis akan berlaku pada pihak tertuduh dengan penggabungan perbicaraan ini,” katanya.

Pada prosiding hari ini, Muhyiddin diwakili peguam bela, Amer Hamzah Arshad.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh sebutan pada 18 Februari ini.

Mahkamah turut membenarkan untuk mengecualikan kehadiran Muhyiddin pada tarikh sebutan 18 Februari nanti.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan RM232.5 juta dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan wang RM200 juta.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, Muhyiddin, 78, didakwa ketika memegang jawatan sebagai Perdana Menteri dan Presiden Bersatu telah menggunakan kedudukannya untuk suapan masing-masing RM200 juta, RM1 juta, RM19.5 juta dan RM12 Juta,

Kesemua jumlah suapan tersebut sebanyak RM 232.5 juta diterima daripada tiga buah syarikat dan seorang individu bagi pihak Bersatu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Ahli Parlimen Pagoh itu, turut berdepan dengan dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram (AMLA) berjumlah RM195 juta yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik Bersatu.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral di sini antara 25 Februari dan 16 Julai 2021 serta 8 Februari dan 8 Julai 2022.

Sebelum ini pada 28 Februari 2024, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai oleh Datuk Hadhariah Syed Ismail yang bersidang bersama-sama Datuk Azmi Ariffin dan Datuk S.M. Komathy Suppiah memutuskan agar keempat-empat pertuduhan itu ‘dihidupkan semula’ selepas membenarkan rayuan pendakwaan.

Ia selepas Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah terkhilaf apabila membatalkan kesemua pertuduhan itu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya