GEORGE TOWN : Tujuh daripada 25 nelayan yang diperiksa dalam satu operasi bersepadu yang dijalankan di sekitar Teluk Kumbar semalam didapati positif dadah.
Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Razali Kasim berkata, dalam operasi itu juga, tiga Vesel Nelayan Tempatan (VNT) bersama sembilan kru turut ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985.
Katanya, operasi tersebut dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Pasukan Polis Marin (PPM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta Jabatan Perikanan (DOF) negeri.
“Seramai 51 anggota daripada pelbagai agensi terlibat dalam operasi yang memfokuskan pemeriksaan di perairan Teluk Kumbar dan jeti pendaratan ikan di sekitar kawasan tersebut.
“Dalam operasi berkenaan, sebanyak 25 nelayan telah menjalani ujian saringan air kencing dan tujuh daripada mereka didapati positif dadah. Penahanan ini adalah hasil maklumat risikan serta aduan awam,” katanya di sini, hari ini.
Menurut Razali, tiga vesel nelayan bersama sembilan kru turut ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk melanggar syarat lesen dan menangkap ikan di kawasan larangan.
“Operasi ini adalah usaha berterusan Maritim Malaysia bersama agensi lain untuk memelihara keselamatan perairan dan memastikan pematuhan undang-undang dalam kalangan komuniti maritim di negeri ini,” katanya.
Razali berkata, operasi bersepadu seumpama itu akan terus dilaksanakan secara berkala bagi memastikan pengusaha bot nelayan tempatan mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.
“Maritim Malaysia akan terus mempergiatkan operasi seperti ini demi menjamin kesejahteraan dan keselamatan perairan negara,” katanya.-UTUSAN