Tujuh dituduh berpakat 'scam' pelaburan tidak wujud

Tujuh dituduh berpakat ‘scam’ pelaburan tidak wujud

TUJUH lelaki dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini bagi didakwa atas pertuduhan melakukan penipuan pelaburan dalam talian yang tiada wujud hari ini. - UTUSAN/BAAZLAN IBRAHM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Tujuh lelaki termasuk remaja bawah umur dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini hari ini bagi pertuduhan melakukan penipuan pelaburan dalam talian yang tidak wujud di Taman Ekoflora, di sini, minggu lalu.

Enam daripada mereka iaitu Choo Weng Seng, 39; Tan Chun Leong, 41; Sky Chang Ji Shiang, 20; Yap Wai Xien, 20; Ryan Wong Wor Yew, 24; Wess Lee Von Kim, 19, mengaku salah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Sementara itu, seorang lagi tertuduh berusia 17 tahun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa sebagai pihak kepada suatu pakatan jahat dengan tujuan melakukan jenayah, bersetuju antara satu sama lain untuk melakukan perbuatan menyalahi undang-undang.

Mereka didakwa membuat penipuan pelaburan dalam talian yang tidak wujud yang bertentangan dengan Seksyen 417 Kanun Keseksaan.

Kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira pukul 3 petang di Jalan Ekoflora 5/21, Taman Ekoflora, di sini pada 13 Januari lalu.

Pendakwaan dikemukakan di bawah Seksyen 120B(2) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Manakala bagi remaja berkenaan boleh diperintahkan untuk dilepaskan dengan amaran atau diberikan bon berkelakuan baik dengan apa-apa syarat yang dikenakan oleh mahkamah, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga boleh diperintahkan membayar denda atau perintah khidmat masyarakat atau dihantar ke sekolah diluluskan atau ke Sekolah Henry Gurney.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nik Noratini Nik Azman dan kesemua tertuduh diwakili peguam, Dahlia Tan.

Mahkamah menetapkan 6 Mac depan sebagai sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan menjatuhkan hukuman. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya