Trofi FFM tahun depan? Tak pernah terfikir pun – Qi Razali - Utusan Malaysia

Trofi FFM tahun depan? Tak pernah terfikir pun – Qi Razali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tidak perlu susah payah, lakukan carian di pelbagai platform media sosial dan lihat sahaja betapa ramai peminat filem tempatan membanjirkan pujian terhadap lakonan aktor, Qi Razali, menerusi naskhah Babah yang berjaya mencipta gelombang tersendiri dalam industri perfileman tanah air.

Itu sudah cukup menjadi bahan bukti betapa mengesankan watak Babah di hati penonton sehinggakan ramai terulit dengan emosi yang didalami secara tidak sengaja ketika ‘bersama-sama’ mengikuti perjalanan lelaki itu yang disampaikan dengan sempurna oleh Qi sepanjang dua jam durasi tayangan.

Rata-rata yang telah menonton filem tersebut menyifatkan Qi sudah begitu layak untuk diangkat sebagai Pelakon Lelaki Terbaik terutama untuk sebuah penganjuran anugerah berprestij tanah air iaitu di Festival Filem Malaysia (FFM) tahun hadapan menerusi watak tersebut.

Ini kerana bagi peminat dan penonton, Qi telah memberikan sebuah nuansa luar biasa termasuk kejutan lantaran watak sedemikian belum pernah diterajuinya sebelum ini.

Lalu, ketika dilayangkan pandangannya berhubung hasrat dan ramalan ramai tentang trofi ‘panas’ itu, Qi sempat berseloroh dan tertawa saat menyambut pertanyaan itu.

“Awak punya soalan, seolah-olah Beto Kusyairy itu tak wujud ya dalam industri seni kita?” selorohnya secara spontan.

Menyambung kata-kata, pelakon berusia 47 tahun itu mengakui dalam kerendahan hati bahawa dia tidak pernah terfikir untuk merangkul anugerah apalagi mensasarkan sebuah trofi hebat seperti di FFM.

“Saya rasa, setiap orang pun, kalau buat sesuatu perkara dengan ikhlas, hendakkan yang terbaik, ada pasukan yang best di samping dan di belakang kita, Insya-Allah kita juga akan mendapatkan hasil yang terbaik.

“Kalau dicalonkan, Alhamdulillah. Kalau tiada pun, saya sudah cukup gembira filem ini dapat pergi sejauh ini selain dapat perhatian ramai. Terus-terang, saya ini tak adalah mengharap (anugerah), tetapi adalah macam terbayang tetapi cepat-cepat saya tepis di fikiran.

“Jika orang nampak dan percaya pada bakat saya termasuk dengan apa yang telah saya sampaikan menerusi watak Babah itu, saya syukur dan sangat berterima kasih,”katanya kepada Utusan Malaysia.

Selain itu, kongsi Qi, dia sedar bukan mudah untuk memainkan peranan seorang ayah apalagi dirinya sendiri belum pernah membawa gelaran itu di dunia realiti.

“Kita susah hendak membawakan watak ayah kalau orang tengok ‘watak’ itu jauh dengan kita. Satu cara, kita cuba bawa penonton masuk dalam perjalanan keluarga Isyak ini.

“Maka andai kata, sentuhan itu telah berjaya kita lakukan, saya pasti pasukan ini seluruhnya juga telah berjaya,”katanya.

WATAK AYAH
Ditanya bagaimana dirinya mencuba sehabis baik membawakan watak itu sehingga berjaya membuatkan ramai kalangan peminat dan penonton turut memanggilnya dengan panggilan Babah di luar filem, Qi membungkus jawapan seperti ini.

“Sebagaimana yang penonton lihat, watak Isyak itu seorang ayah yang kehilangan deria pendengaran. Jadi, semasa melakonkan bahasa isyarat, saya benar-benar faham bahasa itu. Alhamdulillah juga saya mulakan penggambaran dengan babak-babak bersama watak Kis dahulu, anak kecil.

“Jadi, secara tak langsung, saya dapat bina hubungan akrab itu dengan dia, lepas itu baru dapat babak bersama Maya. Jadi saya menghayati perjalanan Isyak itu daripada anaknya kecil sehingga dewasa.

“Tapi ada satu babak di mana anaknya ini terlantar di hospital, dengan teknik solekan, saya benar-benar tersentuh dan sebak secara automatik. Saya rasa macam saya memang ada anak dan dia sedang benar-benar tenat,”katanya.

Dalam pada itu, Qi turut mendedahkan bahawa gara-gara watak Babah, dia juga dihujani dengan pelbagai hantaran di media sosial dan mesej peribadi daripada penonton dan peminat yang berkongsi rasa dan kisah masing-masing.

Antara yang diingatinya adalah kisah seorang remaja yang mengakui telah tersentuh hati dengan naskhah tersebut sejurus menonton filem arahan Mohd. Shah Faizul dan terbitan Nads Media Entertainment itu.

“Saya ada menerima satu mesej peribadi daripada seorang remaja yang mengakui hubungannya dengan ibu bapa bermasalah. Kongsinya, dia telah bergaduh dengan bapanya sehingga mahu melarikan diri dari rumah. Agak panjang juga luahannya itu.

“Namun, dia mengucapkan terima kasih selain memaklumkan hasratnya untuk berbaik semula dengan bapanya setelah menonton filem Babah bersama orang tuanya itu.

“Ini adalah antaranya. Banyak lagi mesej-mesej menyentuh hati yang saya terima daripada mereka yang telah menonton filem ini dan mereka terdiri daripada pelbagai peringkat usia. Jadi, di sini semua boleh lihat apa pengorbanan seorang ayah dan bagaimana pentingnya peranan setiap orang dalam sebuah keluarga itu,”katanya menutup bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya