MIRI: Mangsa terakhir dalam tragedi tanah runtuh di Kampung Lereng Bukit, di sini ditemukan maut pada pukul 6.26 petang semalam, menjadikan jumlah keseluruhan korban seramai lima orang.
Komander Operasi, Penguasa Kanan Bomba (PgKB II) Rafie Sapar berkata, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) mengambil masa hampir 16 jam sebelum menemukan semua mangsa yang tertimbus dalam kejadian itu.
“Operasi SAR dimulakan seawal pukul 2.58 pagi semalam dan menemukan mangsa terakhir pada pukul 6.26 petang.
“Usaha membawa keluar mangsa mengambil masa hampir 20 minit sebelum dia disahkan meninggal dunia di lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, tragedi tanah runtuh itu meragut lima nyawa penghuni rumah Lot 287A.
Mereka yang terkorban ialah Sazarena Arabi, 41; Irsyad Syairah, 16; Nur Raisyah Syahirah, 8; Nur Rania Syafiqah, 11, dan seorang lagi wanita warga emas, Fatimah Dawi, 71, yang ditemukan pada pukul 6.26 petang.
“Seorang lagi penghuni rumah, Nur Irsalina Syairah, 17, mengalami patah kaki kanan manakala Arabi Samsudin, 71, terselamat tanpa kecederaan,” ujarnya.
Menurutnya, usaha mencari menghadapi pelbagai cabaran termasuk keadaan tanah yang tidak stabil serta risiko aliran elektrik yang masih ada di sekitar lokasi kejadian.
“Kami berusaha sehabis baik dengan bantuan daripada pelbagai agensi termasuk pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), tentera dan Pejabat Daerah,” katanya.
Menurut beliau, operasi SAR yang melibatkan lebih 20 anggota bomba termasuk unit khas Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) turut dibantu oleh anggota polis, anggota JPAM, anggota tentera serta pegawai kesihatan dan Pejabat Daerah.
“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 6.50 petang dan kesemua mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya. – UTUSAN