PUTRAJAYA: Jumlah trafik penumpang udara Malaysia Malaysia pada tahun 2024 mencapai 97.1 juta iaitu peningkatan sebanyak 14.3 peratus berbanding tahun sebelumnya yang mencatatkan 85 juta penumpang.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, jumlah tersebut selaras dengan ramalan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) iaitu antara 95.4 hingga 97.6 juta penumpang.
Menurutnya, trafik penumpang udara yang didorong oleh segmen ASEAN dan antarabangsa pula masing-masing mencatat pertumbuhan sebanyak 19.8 peratus dan 38.9 peratus, manakala, segmen penumpang domestik mencatat pertumbuhan sebanyak 2.2 peratus.
“Sebelum pandemik Covid-19 kita lihat jumlah pergerakan penumpang adalah 109.3 juta, jadi sekarang ini kita sudah mencapai hampir 90 peratus (angka) seperti sebelum pandemik.
“Ini dikira sangat memuaskan dan baik kerana semasa pandemik (Covid-19) ada ramalan mengatakan bahawa (sektor penerbangan) akan mengambil masa lima tahun untuk kembali kepada peringkat sebelum pandemik, tapi kita hanya ambil masa tiga tahun sahaja dan ia sudah mencecah hampir 90 peratus,” katanya dalam sidang akhbar berkenaan prestasi trafik penumpang dan kargo Malaysia bagi tahun 2024 serta unjuran bagi tahun 2025 di Kementerian Pengangkutan hari ini.
Beliau berkata, pertumbuhan itu disumbangkan oleh beberapa faktor utama termasuk penambahan kapasiti tempat duduk yang disediakan oleh syarikat penerbangan, pengecualian visa bagi pelancong dari China dan India, serta peningkatan kesalinghubungan ke destinasi utama seperti China, India, Indonesia, Korea Selatan, Australia dan negara-negara Teluk.
Jelasnya, pergerakan kargo udara pada tahun lalu menunjukkan peningkatan tahun ke tahun sebanyak 8.3 peratus iaitu mencapai 1,034.1 juta kilogram (kg) berbanding 955.1 juta kg pada 2023.
“Pertumbuhan ini didorong terutamanya oleh lonjakan dalam penghantaran e-dagang serta gangguan dalam rantaian bekalan akibat krisis perkapalan di Laut Merah. Pertumbuhan kargo ini sedikit rendah berbanding ramalan yang dibuat oleh MAVCOM,” ujarnya.
Berhubung ramalan trafik penumpang udara bagi tahun 2025, Loke berkata, sektor penerbangan Malaysia dijangka mengalami pertumbuhan yang ketara dengan MAVCOM meramalkan antara 105.8 juta dan 112.9 juta penumpang.
“Maksudnya tahun 2025 ini kita menjangkakan pergerakan penumpang akan kembali seperti sebelum pandemik Covid-19 iaitu iaitu pada tahun 2019 dengan 109.3 juta penumpang.
“Sudah tentu harapan dan misi kita untuk melihat pertumbuhan dua angka seterusnya, sebab kalau setiap tahun kita dapat mencapai dua angka sudah tentu ia adalah pertumbuhan yang amat positif kepada industri penerbangan,” katanya. – UTUSAN