Tol percuma tak selesai kesesakan di musim perayaan - Ahmad Zahid

Tol percuma tak selesai kesesakan di musim perayaan – Ahmad Zahid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpandangan, pemberian tol percuma di lebuh raya bertol setiap kali musim perayaan tidak membantu menyelesaikan isu kesesakan.

Susulan itu, katanya, rakyat sendiri perlu mengubah gelagat dan merancang perjalanan terutama setiap kali musim perayaan bagi megelak kesesakan.

“Ketika ini, jumlah gantian dalam bentuk pampasan oleh kerajaan kepada pemegang konsesi tol adalah sekitar RM35 juta sehari.

“Walaupun ianya tidak melibatkan pampasan tunai secara langsung, tetapi konsesi itu terpaksa dipanjangkan.

“Malah, ini (pemberian tol percuma) tidak menyelesaikan masalah kesesakan di lebuh raya-lebuh raya yang bertol,” katanya ketika ditemui pada Majlis Anugerah Pemenang Rural Business Challenge (RBC) 2.0 2024, di sini hari ini.

Katanya, keputusan untuk tidak lagi meneruskan pemberian tol percuma itu adalah keputusan Jemaah Menteri berdasarkan saranan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Ahmad Zahid berkata, beliau berharap rakyat dapat menjadualkan dan menyesuaikan sendiri perjalanan ketika pulang ke kampung dan kembali ke rumah masing-masing.

“Kita mesti menukar pemikiran daripada memperoleh diskaun ataupun diberikan tol percuma itu sebagai hadiah.

“Tetapi apabila tidak ada hadiah, kita mesti menukar cara kita berkenderaan (merancang) apabila tiba musim-musim perayaan,” katanya.

Sebelum ini, Alexander dilaporkan berkata, kerajaan memutuskan untuk menghentikan pemberian tol percuma sempena musim perayaan bermula tahun ini.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan akan menggantikan pemberhentian tol percuma itu dengan pendekatan yang lebih bersasar.

Secara puratanya, kerajaan membayar kira-kira RM20 juta sehari kepada syarikat konsesi lebuh raya menerusi pelaksanaan tol percuma.

Pada tahun lalu saja, kerajaan membayar RM80.07 juta sempena Aidilfitri, Deepavali RM42.31 juta; Tahun Baru Cina (RM41.21 juta) dan RM38 juta pada Krismas lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN