PASIR PUTEH: Kawasan Tok Bali di sini, yang terkenal dengan aktiviti perikanan laut dalam bakal dimajukan sebagai Bandar Pelabuhan Maritim berkonsepkan industri pelancongan dalam masa terdekat.
Yang Dipertua Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP), Mohd. Roshdi Ismail berkata, alam semula jadi dan prasarana sedia ada adalah aset utama Tok Bali yang mampu menggamit kehadiran pelancong domestik dan luar negara.
Katanya, jeti ikan Tok Bali yang pernah menjadi destinasi dan tumpuan ramai untuk mendapatkan ikan segar di Kelantan suatu ketika dahulu kini berwajah baharu.
“MDPP giat melaksanakan pelbagai projek pelancongan di kawasan ini bagi menarik pengunjung yang mencintai keindahan pesisir sungai dan laut.
“Antara usaha yang sedang dilaksanakan ialah menaik taraf hiasan dan dekorasi di sekitar jeti, membina kawasan rekreasi dan rehat yang selesa di sepanjang lebih 300 meter terusan Tok Bali,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia dalam kunjungan panorama malam di Tok Bali, kelmarin.
Mohd. Roshdi yang juga Ketua Jajahan Pasir Puteh berkata, medan selera yang menyediakan pelbagai sajian makanan tradisional dan masakan panas disediakan selain prasarana surau dan tandas di sekitar pasar ikan yang dahulunya dikenali sebagai Terminal Pendaratan Ikan Segar.
Katanya, setakat ini tersedia 10 ruang makan untuk menghidupkan suasana malam di Tok Bali dengan dekorasi lampu neon pada semua wakaf dan laluan tepi sungai.
“Bagi memeriahkan lagi suasana, persembahan dikir Barat dan lain-lain seni budaya yang terkenal di Kelantan dilangsungkan mengikut jadual yang disusun.
“Kami berharap inisiatif ini dapat mengembalikan kegemilangan Jeti Tok Bali sebagai destinasi tumpuan pelancong, selain membantu meningkatkan ekonomi komuniti setempat,” katanya. – UTUSAN