KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sedang menilai semula sasaran Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) susulan kejayaan sektor pelancongan negara yang melebihi jangkaan awal.
Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, sasaran asal 36 juta pelancong antarabangsa mungkin dinaikkan selepas Malaysia berjaya menarik 38 juta pelancong pada 2024, melebihi jangkaan.
“Kita sudah capai 38 juta pelancong tahun lalu, jadi kita perlu kaji semula sasaran TMM2026. Kalau kita kekalkan angka 36 juta, kita sebenarnya meletakkan sasaran yang lebih rendah daripada pencapaian semasa.
“Kita akan rombak balik sasaran ini supaya lebih realistik dan berpotensi membawa impak ekonomi yang lebih besar kepada negara dari sektor pelancongan,” ujarnya
Selain itu, kementerian turut menetapkan sasaran untuk menjana sekurang-kurangnya RM150 bilion hasil pelancongan, dengan tumpuan untuk meningkatkan perbelanjaan per kapita pelancong asing.
Jelasnya, kementerian juga akan memperkenalkan kempen berskala besar yang memberi tumpuan kepada produk pelancongan berkualiti tinggi, termasuk segmen pelancongan mewah.
“Sekarang kita masih di tahap RM3,000 per kapita, tapi kita sedang usahakan bagaimana untuk meningkatkan nilai ini. Bila pelancong belanja lebih banyak, ekonomi tempatan akan mendapat manfaat besar.
“Kita akan lihat data terkini bagi menentukan sasaran baharu yang lebih relevan dengan trend semasa pelancongan global. Kita juga harus pastikan ada produk eksklusif yang boleh menarik mereka.
“Semua sektor termasuk industri hotel, restoran mewah dan penganjur aktiviti premium harus bekerjasama untuk menawarkan pengalaman terbaik kepada pelancong kelas atasan dan juga pertengahan,” katanya.
Selain destinasi pelancongan utama, kementerian juga akan memperhebatkan promosi bagi sektor rumah inap dan pelancongan luar bandar menerusi pelbagai kempen serta aktiviti.
“Kita mahu pelancong mengalami sendiri keunikan Malaysia yang berbilang kaum. Contohnya, di Sarawak, kita boleh tawarkan pengalaman tinggal di rumah panjang, menikmati makanan tempatan dan menyertai aktiviti komuniti.
“Kita mahu pastikan pelancong bukan sahaja datang, tetapi berbelanja sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi setempat,” kongsinya.
Menurutnya, promosi ini akan dilakukan melalui platform digital dan pempengaruh dari dalam dan luar negara bagi memastikan penyampaian mesej yang lebih luas dan berkesan berhubung industri pelancongan negara.
“Semua platform media sosial akan digunakan, termasuk kerjasama dengan selebriti dan pempengaruh tempatan serta antarabangsa. Pendekatan baharu seperti harus dimanfaat sebaiknya supaya promosi kita lebih meluas.
“Kita juga akan menampilkan lebih banyak kandungan video yang menarik untuk menunjukkan keunikan budaya dan destinasi tempatan ke mata dunia,” katanya.
Dalam pada itu, beliau juga mengingatkan agar semua pihak tidak memperbesar-besarkan isu video promosi TMM2026 yang tular sebelum ini, sambil memberi jaminan bahawa versi penuh akan dilancarkan tidak lama lagi.
“Video 41 saat yang tular itu bukan video promosi penuh. Bagi video baharu, kementerian akan pastikan semua elemen penting termasuk masjid dan tempat keagamaan lain dalam versi seterusnya.
“Jangan jadikan isu ini sebagai cetusan polemik yang boleh menjejaskan reputasi negara sebagai destinasi pelancongan,” ujarnya. – UTUSAN