TLDM, Tentera Laut Perancis tingkat kerjasama menerusi Eksesais LA PEROUSE 2025

TLDM, Tentera Laut Perancis tingkat kerjasama menerusi Eksesais LA PEROUSE 2025

Tim Menggeledah TLDM dan TLP bergambar bersama Jalur Gemilang dan bendera Perancis, simbol kerjasama erat antara kedua-dua angkatan laut dalam Eksesais LA PEROUSE 2025.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya melaksanakan Eksesais LA PEROUSE 2025 bersama Tentera Laut Perancis (TLP) sempena pelayaran kapal FS Forbin di perairan Selat Melaka.

TLDM dalam kenyataan memaklumkan, eksesais berkonsepkan Field Training Exercise (FTX) ini bertujuan mempromosikan kerjasama Indo-Pasifik bersama negara ASEAN dengan memfokuskan keselamatan maritim serantau.

Katanya, Eksesais ini meningkatkan penglibatan dan kesalingoperasian maritim antara TLDM dan TLP, menangani cabaran keselamatan maritim bersama serta memperkukuhkan hubungan pertahanan kedua-dua negara.

“Eksesais juga dibahagikan kepada dua fasa iaitu Fasa Pelabuhan yang berlangsung dari 13 hingga 15 Januari lalu di Pulau Pinang yang merangkumi perbincangan operasi, lawatan kapal, interaksi sukan dan majlis resepsi rasmi.

“Fasa Laut pula berlangsung dari 16 hingga 18 Januari lalu di perairan Selat Melaka yang melibatkan latihan peperangan permukaan dan udara serta Photo Exercise (PHOTEX),” katanya.

Aset-aset TLDM yang terlibat termasuk KD Lekir, KD Gagah Samudera, Fast Combat Boat TLDM dan dua pesawat pejuang F/A-18D dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) manakala aset TLP melibatkan FS Forbin dan pesawat AS565 Panther.

Latihan di laut memberi tumpuan kepada aspek peperangan permukaan dan udara bertujuan untuk memperkasakan kemampuan teknikal dan operasi serta meningkatkan kesalingoperasian kedua-dua angkatan laut.

Sepanjang fasa laut, pelbagai siri latihan sudah dilaksanakan seperti Simulated Local Air Defense Exercise (SIMADEX), Air Defense Exercise (ADEX), Surface Firing Exercise (SURFEX), Advance Interdiction and Boarding Exercise (BOARDEX) dan PHOTEX.

Latihan ini dapat meningkatkan keupayaan taktikal kedua-dua negara, memperkasakan kompetensi teknikal anggota TLDM dan memastikan kesiapsiagaan aset menghadapi senario maritim kompleks.

Eksesais LA PEROUSE 2025 merupakan kerjasama bilateral pertama melibatkan aset TLDM dan TLP selepas kali terakhir dijalankan pada 2021 melalui Passage Exercise (PASSEX) di Selat Melaka.

Kejayaan ini mencerminkan komitmen kedua-dua negara dalam pertukaran pengetahuan, amalan terbaik, dan memperkukuhkan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Perancis.

Pelaksanaan eksesais di Pulau Pinang turut menjadi platform persediaan TLDM untuk menganjurkan acara penting seperti ASEAN Navy Chief’s Meeting (ANCM), ASEAN Multilateral Naval Exercise (AMNEX) dan ASEAN Fleet Review pada Ogos ini.

TLDM juga merakamkan penghargaan kepada semua pihak terlibat khususnya Kerajaan Negeri Pulau Pinang kerana menjadikan negeri itu sebagai lokasi utama Eksesais LA PEROUSE 2025

Kerjasama seperti ini penting dalam memastikan keselamatan dan kestabilan maritim serta memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai rakan kongsi strategik di peringkat antarabangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya