KUALA LUMPUR: Satu jawatankuasa khas di bawah naungan Majlis Raja-Raja Melayu perlu ditubuhkan bagi menyiasat ketelusan pentadbiran kerajaan berkaitan Titah Adendum melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), Syed Hassan Syed Ali berkata, jawatankuasa khas tersebut perlu ditubuhkan bagi menyiasat kedudukan kerajaan dalam isu tersebut.
Katanya, Titah Adendum yang didakwa ‘disembunyikan’ itu telah menimbulkan pelbagai persoalan terhadap ketelusan pentadbiran kerajaan dan integriti kepemimpinan negara.
“Kami bimbang wujud konspirasi di peringkat tertinggi kerajaan untuk membelakangkan titah Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, sekali gus mencemarkan institusi diraja yang menjadi tonggak kestabilan negara.
“Rakyat berhak mengetahui kebenaran dan tidak membiarkan kerajaan terus bersembunyi di sebalik alasan sulit,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.
Mahkamah Rayuan semalam memberikan kebenaran kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi membuktikan kewujudan suatu Titah Adendum yang dikatakan membenarkan beliau menjalani baki tempoh penjara bawah tahanan rumah.
Dalam keputusan 2-1, Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd. Firuz Jaffril menyokong keputusan itu, manakala Hakim Datuk Azizah Nawawi yang mengetuai panel tiga hakim prosiding menentang penghakiman terbabit.
Mengulas lanjut, Syed Hassan berkata, jawatankuasa tersebut tidak boleh terdiri daripada pimpinan Kerajaan Madani, tetapi perlu dianggotai oleh individu yang berkelayakan dan bersesuaian.
“Individu yang untuk menaungi jawatankuasa tersebut perlu terdiri daripada individu yang ‘neutral’ dan tidak menyebelahi satu pihak semata-mata.
“Ini bagi memastikan penyiasatan secara telus dan menyeluruh dapat diambil bagi memastikan keadilan dapat diberikan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (Ummah), Mohd Zai Mustaffa berkata, tindakan segera perlu diambil bagi memastikan dokumen berkenaan tidak dimanipulasi atau disembunyikan pihak tertentu.
Katanya, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan membuat laporan polis secara serentak di seluruh negara bermula esok untuk menuntut siasatan menyeluruh terhadap isu ini.
“Kami mahu melihat sama ada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berpihak kepada rakyat atau kerajaan. Perhimpunan lebih besar juga bakal diadakan sekiranya kerajaan terus berdiam diri.
“Sebagai permulaan, seramai 1,000 NGO di seluruh negara akan membuat laporan polis berhubung tindakan kerajaan yang didakwa ‘menyembunyikan’ Titah Adendum tersebut.
“Selain daripada laporan polis dan tindakan lain yang diambil, lebih banyak pertemuan dengan NGO serta parti politik Melayu akan diadakan untuk membincangkan penyelesaian terhadap isu ini,” katanya. – UTUSAN