PETALING JAYA: Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim menafikan kerajaan cuba menyembunyikan Titah Adendum berkaitan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak seperti didakwa pelbagai pihak.
Muhammad Kamil berkata, kerajaan tidak menyembunyikan tetapi menghormati proses keadilan negara.
“Cuma yang dangkal sahaja sukar mengerti, setelah agama dan Datuk Seri Najib ditunggang, lalu kini cuba pula menunggang institusi diraja?
“Lupakah siapa dahulu yang sering mengundang rasa dukacita Yang di-Pertuan Agong? Justeru usah pula terpukau melihat kemunculan pendekar-pendekar jadian dan jagoan kesiangan,” katanya menerusi satu ciapan di X.
Beliau berkata demikian sebagai respons kepada serangan yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin pembangkang terhadap Kerajaan Perpaduan yang didakwa menyembunyikan Titah Adendum.
Ia susulan keputusan Mahkamah Rayuan memberi kebenaran kepada Najib untuk mencabar perintah penahanan di rumah bagi baki hukuman penjara yang dihadapinya.
Terdahulu, Pas mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meletakkan jawatan ekoran keputusan Mahkamah Rayuan itu.
Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, keputusan Mahkamah Rayuan mengesahkan bahawa kerajaan menyembunyikan kewujudan Titah Adendum sebelum Najib memfailkan permohonan di mahkamah.
Kata beliau, tindakan tersebut merupakan satu kesalahan besar yang menafikan hak bekas Presiden UMNO itu mendapatkan keadilan sewajarnya.
Jelasnya, tindakan menafikan kewujudan Titah Adendum itu mencerminkan ketidakjujuran kerajaan dalam menangani isu keadilan dan hak individu.
Mahkamah Rayuan membuat keputusan membenarkan Najib untuk memulakan prosiding semakan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung penolakan permohonannya menjalani baki hukuman penjara enam tahun di bawah tahanan rumah.
Dalam keputusan 2-1, Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd. Firuz Jaffril menyokong keputusan itu, manakala Hakim Datuk Azizah Nawawi yang mengetuai panel tiga hakim, menentang penghakiman terbabit.
Keputusan majoriti itu juga memberi kebenaran kepada Najib untuk mencabar perintah itu dan kes dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk didengar di hadapan hakim yang lain.
Pada 3 Julai lalu, Hakim Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib untuk mencabar perintah berhubung adendum itu atas alasan kesemua afidavit yang menyokong permohonan semakan itu adalah `dengar-cakap’. – UTUSAN