Titah Adendum: Shamsul Iskandar digesa mohon maaf, tarik balik kenyataan

Titah Adendum: Shamsul Iskandar digesa mohon maaf, tarik balik kenyataan

JASRI JAMALUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md. Akin digesa memohon maaf dan menarik balik kenyataan yang didakwa mempertikai kewujudan Titah Adendum serta surat pengesahan daripada Istana Pahang berhubung perkara tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul, Datuk Jasri Jamaluddin berkata, tindakan itu disifatkannya sebagai biadab, mencabar kredibiliti institusi diraja dan melanggar adat istiadat Melayu yang memartabatkan kedaulatan raja-raja Melayu. 

“Ia juga tindakan yang tidak sejajar dengan kedudukan institusi beraja sebagai mana diperuntukkan di bawah Perkara 32 dan Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan peranan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Utama Negara dan institusi raja sebagai simbol kedaulatan serta perpaduan rakyat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Berikut merupakan kenyataan penuh beliau: 

*Saya melahirkan rasa dukacita dan kekesalan yang mendalam terhadap kenyataan Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin, Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, yang secara terang-terangan disifatkan sebagai suatu bentuk penghinaan terhadap Sultan Pahang.

*Kenyataan beliau yang mempertikai kewujudan titah Adendum serta surat pengesahan daripada Istana Pahang adalah tindakan yang biadab, mencabar kredibiliti institusi diraja, dan melanggar adat istiadat Melayu yang memartabatkan kedaulatan Raja-raja Melayu. Ia juga merupakan satu tindakan yang tidak sejajar dengan kedudukan institusi beraja sebagai mana yang diperuntukkan di bawah Perkara 32 dan Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan, yang menetapkan peranan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Utama Negara dan institusi Raja sebagai simbol kedaulatan serta perpaduan rakyat.

*Surat pengesahan yang dikeluarkan oleh Istana Pahang berhubung titah Adendum adalah langkah wajar yang mencerminkan kebertanggungjawaban Sultan Pahang dalam memperjelas isu ini secara telus. Kenyataan Shamsul Iskandar yang seolah-olah mempertikai langkah tersebut bukan sahaja bertentangan prinsip ‘separation of powers’ yang menjadi asas Perlembagaan, tetapi juga mengabaikan keperluan untuk memelihara keharmonian hubungan antara kerajaan dan institusi diraja.

*Sebagai rakyat negeri Pahang yang menjunjung tinggi institusi diraja, saya menganggap kenyataan tersebut sebagai satu penghinaan serius terhadap Sultan Pahang. Tindakan ini telah mencalarkan maruah baginda yang pernah menjawat jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan telah mengguris hati rakyat Pahang yang setia kepada baginda.

*Saya menuntut agar Datuk Seri Shamsul Iskandar segera menarik balik kenyataan tersebut dan membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Istana Pahang serta seluruh rakyat negeri ini. Saya juga menggesa pihak kerajaan untuk mengambil langkah proaktif dalam memastikan kenyataan seperti ini tidak berulang, kerana ia berpotensi merosakkan kepercayaan rakyat terhadap institusi Raja Berperlembagaan, yang merupakan salah satu tiang seri kestabilan negara.  

*Dalam konteks ini, adalah penting untuk menegaskan bahawa institusi raja di Malaysia bukan hanya simbol adat dan tradisi, tetapi juga komponen penting dalam struktur Perlembagaan. Menghina atau mempertikai tindakan raja yang sah, sebagai mana diperuntukkan di bawah Perkara 181(1) Perlembagaan Persekutuan, boleh dianggap sebagai perbuatan melampaui batas yang mencemarkan institusi beraja. Kenyataan Datuk Seri Shamsul Iskandar juga dilihat bercanggah dengan semangat undang-undang, termasuk prinsip yang digariskan di bawah Akta Hasutan 1948 untuk melindungi kedudukan dan martabat institusi diraja.

*Saya dengan penuh rasa hormat dan kasih sayang kepada baginda, berdiri teguh menyokong Sultan Pahang. Saya tidak akan berkompromi dengan sebarang tindakan atau kenyataan yang mencabar martabat baginda dan menyeru agar pihak berwajib mengambil tindakan tegas untuk menjaga kehormatan institusi diraja. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya