PETALING JAYA: Pas mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanggungjawab ekoran keputusan Mahkamah Rayuan membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, keputusan Mahkamah Rayuan mengesahkan bawah kerajaan menyembunyikan kewujudan Titah Adendum sebelum Najib memfailkan permohonan di mahkamah.
Kata beliau, tindakan tersebut merupakan satu kesalahan besar yang menafikan hak bekas Presiden UMNO itu mendapatkan keadilan sewajarnya.
Jelasnya, tindakan menafikan kewujudan Titah Adendum itu mencerminkan ketidakjujuran kerajaan dalam menangani isu keadilan dan hak individu.
“Ini bukan sahaja mencemarkan sistem kehakiman negara tetapi juga mencetuskan persoalan besar mengenai integriti kepimpinan negara.
“Dengan keputusan mahkamah ini, kerajaan sedia ada telah hilang kewibawaan dan kredibiliti untuk terus mentadbir negara. Justeru, Perdana Menteri didesak agar segera melepaskan jawatan demi menjaga maruah dan kestabilan negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, nasib berpihak kepada Najib selepas Mahkamah Rayuan membenarkan beliau untuk bertindak demikian.
Dalam keputusan 2-1, Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd. Firuz Jaffril menyokong keputusan itu, manakala Hakim Datuk Azizah Nawawi yang mengetuai panel tiga hakim prosiding hari ini menentang penghakiman terbabit.
Menurut keputusan majoriti yang dibacakan oleh Hakim Mohd. Firuz, Najib telah memenuhi prinsip untuk memasukkan bukti baharu pada ketika ini.
Tambahan, tiada sebarang bukti untuk mencabar kewujudan atau kesahihan titah adendum itu dikemukakan oleh mana-mana responden.
Keputusan majoriti itu juga membenarkan kebenaran kepada Najib untuk mencabar perintah itu dan kes dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk didengar di hadapan hakim yang berlainan.
Pada 3 Julai lalu, Hakim Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib untuk mencabar perintah berhubung adendum itu atas alasan kesemua afidavit yang menyokong permohonan semakan itu adalah `dengar-cakap’.
Dalam pada itu, Ahmad Fadhli mendakwa keputusan tersebut juga membuktikkan bahawa kerajaan sudah memanipulasi fakta dan berusaha menutup kebenaran dari rakyat.
Jelasnya, Anwar seharusnya bertanggungjawab sepenuhnya atas krisis keyakinan ini.
“Rakyat Malaysia diseru agar terus peka dengan perkembangan ini dan tidak membiarkan manipulasi politik menguasai sistem keadilan negara. Keutamaan perlu diberikan kepada memastikan kebenaran dan keadilan ditegakkan tanpa mengira latar belakang politik,” katanya. – UTUSAN