KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta memberi penjelasan berhubung isu Titah Adendum bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang didakwa ‘disembunyikan’ daripada pengetahuan rakyat.
Desakan ini disuarakan oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan bekas pemimpin yang menyifatkan tindakan kerajaan sebagai tidak telus dan mencemarkan integriti sistem pentadbiran negara.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Datuk Seri Mohd Zaid Ibrahim berkata, tindakan kerajaan merupakan satu bentuk penafian hak seorang banduan dan mencerminkan kegagalan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, jika kerajaan terus bersikap lepas tangan, ia bukan sahaja merosakkan imej pentadbiran, malah merosakkan kepercayaan terhadap institusi diraja dan kedaulatan negara.
Katanya, kerajaan dilihat tidak telus dan mengabaikan hak rakyat untuk mengetahui perkara sebenar.
“Titah Adendum yang dibuat selepas mesyuarat Kabinet sepatutnya didedahkan, namun apabila Datuk Seri Najib Razak menghantar surat kepada barisan kepimpinan Kabinet, surat tersebut langsung tidak dilayan.
“Kerajaan perlu akur bahawa rakyat mahukan ketelusan dalam setiap keputusan dan isu ini akan dibangkitkan sama ada ia merupakan sebahagian daripada cubaan melindungi kepentingan tertentu dalam kerajaan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Mahkamah Rayuan semalam memberikan kebenaran kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi membuktikan kewujudan suatu Titah Adendum yang dikatakan membenarkan beliau menjalani baki tempoh penjara bawah tahanan rumah.
Dalam keputusan 2-1, Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd. Firuz Jaffril menyokong keputusan itu, manakala Hakim Datuk Azizah Nawawi yang mengetuai panel tiga hakim prosiding menentang penghakiman terbabit.
Zaid berkata, rakyat perlu bangkit mendesak penjelasan daripada kerajaan Titah Adendum yang tidak diklasifikasikan sebagai sulit juga telah disembunyikan.
“Kegagalan memberi penjelasan akan menimbulkan lebih banyak persepsi negatif terhadap kerajaan dan melemahkan keyakinan rakyat,” katanya.
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), Syed Hassan Syed Ali berkata, persepsi negatif terhadap institusi diraja semakin membimbangkan akibat kelemahan dan kegagalan kerajaan dalam menguruskan isu tersebut dengan berhemah.
“Kerajaan sepatutnya mengambil langkah proaktif untuk menjelaskan bagaimana titah tersebut boleh disorokkan daripada pengetahuan umum.
“Kegagalan kerajaan untuk bertindak boleh mencetuskan gelombang protes yang lebih besar serta menjejaskan kestabilan politik negara,” katanya. – UTUSAN