PUTRAJAYA: Kabinet tidak mengarahkan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk memohon perintah larangan bersuara (gag order) bagi melarang mana-mana pihak membincangkan isu berkaitan Titah Adendum.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil bagaimanapun tidak mengulas lanjut mengenai perkara itu.
Menurutnya, isu berkenaan juga tidak dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof hari ini.
“Tidak dibincangkan (dalam mesyuarat hari ini) dan Kabinet (Jemaah Menteri) tidak mengarahkan AGC,” katanya pada sidang akhbar pasca mesyuarat Kabinet hari ini.
Sebelum ini, Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan dilaporkan berkata, pihak kerajaan akan memfailkan permohonan untuk mahkamah mengeluarkan perintah larangan bersuara (gag order) berkenaan yang akan difailkan pada 20 Januari ini.
Shamsul memaklumkan, ia adalah untuk melindungi Institusi Diraja kerana perkara itu menyentuh isu sensitif iaitu raja, agama dan kaum (3R).
Sebelum ini juga, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dilaporkan berkata, perintah larangan bersuara itu tidak sepatutnya dilakukan.
Beliau juga menjelaskan isu itu akan dibincangkan semula di Parlimen ketika bersidang pada bulan depan.
Minggu lalu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mendapat kebenaran Mahkamah Rayuan untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum yang didakwa dikeluarkan Januari tahun lalu. – UTUSAN