PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mempersoalkan integriti Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan susulan keputusan Mahkamah Rayuan membabitkan kes Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ketua Penerangannya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, Bersatu kesal dengan tindakan Anwar dan beberapa menteri Kabinetnya serta Peguam Negara kerana tidak telus, berdolak-dalik serta meremehkan isu berkaitan Titah Adendum berhubung tahanan rumah Najib.
Menurut beliau, keputusan 2-1 Mahkamah Rayuan yang membenarkan semakan kehakiman Najib untuk menjalani baki hukuman sebagai tahanan rumah didengari membuktikan kewujudan dokumen yang selama ini disembunyikan daripada pengetahuan rakyat.
“Tindakan kerajaan yang meremeh dan menyembunyikan kewujudan Titah Adendum daripada pengetahuan rakyat ini merupakan tindakan derhaka terhadap institusi Raja-Raja Melayu, khususnya terhadap titah Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Pahang.
“Tindakan ini mencemarkan kehormatan institusi Raja-Raja Melayu, tetapi juga melanggar prinsip keadilan yang menjadi teras pemerintahan negara, dan melambangkan sikap kerajaan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) yang derhaka kepada Yang Di-Pertuan Agong,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, kemenangan berpihak kepada Najib selepas Mahkamah Rayuan membenarkan bekas Perdana Menteri untuk mencabar perintah penahanan di rumah bagi baki hukuman penjara yang dihadapinya.
Dalam keputusan 2-1, Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd. Firuz Jaffril menyokong keputusan itu, manakala Hakim Datuk Azizah Nawawi yang mengetuai panel tiga hakim prosiding hari ini menentang penghakiman terbabit.
Keputusan majoriti itu juga memberi kebenaran kepada Najib untuk mencabar perintah itu dan kes dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk didengar di hadapan hakim lain.
Pada 3 Julai lalu, Hakim Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib untuk mencabar perintah berhubung adendum itu atas alasan kesemua afidavit yang menyokong permohonan semakan itu adalah `dengar-cakap’.
Dalam pada itu, Tun Faisal berkata, kerajaan gagal memberikan jawapan yang tuntas dan meyakinkan mengenai kewujudan Titah Adendum adalah satu penghinaan kepada kemampuan rakyat untuk memahami isu sebenar.
“Sikap sebegini menunjukkan kerajaan tidak menghormati hak rakyat untuk mendapatkan maklumat yang sahih dan telus.
“Keputusan Mahkamah Rayuan hari ini adalah tamparan kepada Perdana Menteri dan kerajaan PH-BN yang selama ini telah menyembunyikan kewujudan Titah Adendum ini,” katanya.
Tambahnya, Bersatu menggesa Anwar dan kerajaan memberikan penjelasan rasmi mengenai segala kenyataan dan tindakan yang didakwanya menyembunyikan Titah Adendum sebelum ini.
“Kami juga menggesa supaya setiap yang bertanggung jawab dalam penderhakaan ini dipertanggungjawabkan dan dihukum agar keyakinan rakyat terhadap institusi perundangan negara dapat dipulihkan.
“Kami turut menyeru rakyat dan khususnya ahli-ahli UMNO menilai secara objektif sikap yang ditunjukkan oleh Zahid Hamidi (Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) dalam hal ini,” katanya. – UTUSAN