Titah Adendum: Bekas Peguam Negara kunci mulut

Titah Adendum: Bekas Peguam Negara kunci mulut

AHMAD Terrirudin Mohd. Salleh
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bekas Peguam Negara, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh enggan memberikan sebarang komen berhubung Titah Adendum yang dikatakan telah dihantar ke pejabatnya ketika menjawat jawatan itu.

Sebaliknya, Ahmad Terrirudin yang kini merupakan Hakim Mahkamah Persekutuan bertindak mengunci mulut dan dengan pantas meninggalkan media yang mengekorinya.

Pada Isnin lalu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah membacakan sebahagian daripada Titah tersebut pada prosiding rayuan bekas Perdana Menteri,Datuk Seri Najib Razak.

Isi surat itu antaranya menyebut:

“Mudah-mudahan barang diwasalkan oleh Tuhan Seru Sekalian Alam ke Majlis Yang Berbahagia Datuk Ahmad Terrirudin bin Mohd Salleh, Peguam Negara Malaysia yang berada pada masa ini di Pejabat Peguam Negara, Putrajaya dengan beberapa selamat dan sejahteranya.

“Wabadah Ehwal, Beta dengan ini menitahkan sebagai tambahan kepada keputusan Beta berhubung Banduan, Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak pada Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah- Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan dan Putrajaya kali ke-61 pada hari Isnin, 29 Januari 2024 bersamaan 17 Rejab 1445 Hijrah supaya Banduan, Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak menjalani baki hukuman menerusi penahanan dalam rumah (House Arrest).”

Isnin lalu, Mahkamah Rayuan memberi kebenaran kepada Najib untuk mencabar kewujudan Titah tersebut.

Dalam keputusan 2-1, Mahkamah Rayuan menyatakan disebabkan tiada sebarang cabaran yang mempertikaikan kewujudan Titah Adendum itu maka mahkamah ini tidak boleh mengetepikan kewujudan titah Yang di-Pertuan Agong itu.

Pada 1 April 2024, Najib memfailkan semakan kehakiman antara lain mendakwa selain perintah pengurangan hukuman penjara dan pengurangan jumlah denda, terdapat perintah tambahan yang membenarkan beliau untuk menjalani hukuman yang dikurangkan kepada ‘tahanan di rumah’ dan bukannya di Penjara Kajang.

Menurut permohonan semakannya, selain AGC, Najib turut menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Lembaga Pengampunan Bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan Dan Putrajaya dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi) sebagai responden pertama hingga kelima.

Turut dimanakan ialah Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Di Jabatan Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia sebagai responden keenam dan ketujuh.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya