Titah Adendum: Anwar usik Ahmad Zahid

Titah Adendum: Anwar usik Ahmad Zahid

ANWAR Ibrahim ketika berucap pada Majlis Pelancaran VM2026 di Kompleks Kejuruteraan Malaysia Airlines Berhad (MAB) di Sepang. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Datuk Seri Anwar Ibrahim sempat mengusik Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika memulakan ucapan ketika merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) di sini, pagi tadi.

Menerusi ucapan alu-aluan itu, Perdana Menteri dikatakan ‘meraikan’ kehadiran Ahmad Zahid pada program itu sedangkan beberapa pemimpin UMNO dan pembangkang berada di Istana Kehakiman bagi memberi sokongan kepada Datuk Seri Najib Razak berhubung isu Titah Adendum.

“Assalamualaikum dan Salam sejahtera, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid yang ada di sini dan tidak ditempat lain,” katanya.

Usikan itu kemudian disambut senyuman Ahmad Zahid serta beberapa kenamaan lain yang berada di bawah pentas.

Selain Ahmad Zahid, turut hadir pada majlis pelancaran itu termasuk Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof serta beberapa menteri Kabinet.

Terdahulu, Anwar melancarkan kempen VM2026 yang berlangsung di Hangar 6, Kompleks Kejuruteraan Malaysia Airlines Berhad (MAB), di sini.

Mahkamah Rayuan di Putrajaya pagi ini mendengar rayuan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke atas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung penolakan permohonannya untuk menjalani baki hukuman penjara enam tahun di bawah tahanan rumah, berdasarkan dakwaannya mengenai kewujudan Titah Adendum.

Antara yang hadir ke Istana Kehakiman bagi menyokong pendengaran rayuan Najib itu termasuk Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh serta beberapa pimpinan utama Pas.

Sebelum ini, UMNO mengambil keputusan untuk tidak meneruskan perhimpunan pada hari ini bagi menyatakan solidariti terhadap Najib berhubung isu Titah Adendum.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dilaporkan berkata, parti berkenaan akur kepada segala saranan titah Seri Paduka agar menghormati kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong, untuk menggunakan saluran perundangan ditetapkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya