PETALING JAYA: UMNO Wilayah Persekutuan menyifatkan pendedahan surat dari Istana Pahang menandakan ‘teka-teki’ mengenai Titah Adendum melibatkan bekas Presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak sudah selesai.
Ketua Penerangannya, Gulam Muszaffar Gulam Mustakim berkata, surat yang mengesahkan kewujudan Titah Adendum itu sudah menjawab pelbagai persoalan yang timbul.
Menurut beliau, pertaruhan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO yang memperjudikan nasib politiknya dengan mengemukakan afidavit untuk Najib sudah berjaya.
Sehubungan itu, katanya, ramai pihak yang membenci Ahmad Zahid cuba menutup peranan penting Timbalan Perdana Menteri itu.
“Pelbagai kata nista, cemuhan dan kutukan dilemparkan kepada beliau (Ahmad Zahid) tetapi seperti biasa, sikap Ahmad Zahid yang sentiasa berserah kepada Allah SWT, hari ini terbukti beliau benar.
“Malah geng-geng ‘cencaru makan petang’ tumpang semangkuk dengan risiko dan hasil tindakan berani matinya. Dalam bahasa pasar, aku yang buka pintu korang yang masuk ramai-ramai,” katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini.
Terdahulu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib mendedahkan surat daripada Majlis Kesultanan Pahang yang mengesahkan wujudnya Titah Adendum yang membenarkan bekas Presiden UMNO itu menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Menurut Muhammad Shafee, surat bertarikh 4 Januari lalu itu, dihantar kepada anak sulung Najib, Datuk Mohamad Nizar oleh Pengelola Bijaya Diraja Ke-Bawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman.
Muhammad Shafee mengemukakan dokumen itu ketika mengemukakan permohonan Najib untuk memasukkan bukti tambahan dalam rayuannya untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman berhubung Titah Adendum berkenaan. – UTUSAN