Ada orang berpendapat, dua rakan baik tidak mungkin mampu menjalin perhubungan yang sihat bersama jika kedua-duanya bekerja di bawah satu bumbung.
Dalam konteks ini, ia merujuk kepada jalinan persahabatan antara Ellya Keesha dan Nelysa Kay yang menyatu sebagai duo meningkat naik, XONE, dan bernaung di bawah Xeno Entertainment.
Bersahabat baik sejak di bangku sekolah, sekecil usia 7 tahun, Ellya dan Nelysa menepis tanggapan dangkal itu yang disifatkan bak sebuah dongeng semata.
Ini kerana, kedua-duanya membuktikan sejak bergabung sebagai duo, soal kerja muzik tidak pernah menjadi satu masalah kerana masing-masing sudah sedia maklum serta cukup kenal karakter masing-masing.
“Bukan tak pernah saya dengar orang kata, jika dua orang individu yang bersahabat baik tidak boleh bekerjasama sebagai satu pasukan atau dalam situasi ini kami sebagai penyanyi duo.
“Ada juga orang cakap, biasanya kalau artis berkumpulan, tak akan kekal lama bersama, suatu hari akan berpecah jua. Tetapi, saya yakin, menerusi persahabatan yang terjalin inilah yang mampu menjadikan Xone mampu bertahan lama.
“Kami sudah berkawan dari kecil, boleh dikatakan saling memerlukan antara satu sama lain. Pada masa yang sama, tipulah jika kami kata tidak pernah bergaduh, namun ada caranya untuk kami tidak berlama-lama begitu,”kata Ellya ketika diaju pertanyaan.
Kongsinya lagi, tentu, sukar untuk mengelak berlakunya percanggahan pendapat dalam soal kerjaya, namun kedua-dua mereka selesa mengambil langkah berbincang bagi mencari satu titik persetujuan.
“Kebiasaannya, kami akan berbincang untuk mencari jalan penyelesaian jika timbul sebarang isu. Mestilah ada ketika kami juga tidak saling bersetuju dengan cara atau pendapat masing-masing.
“Namun ia tidaklah sehingga membawa kami kepada isu yang lebih melarat. Sebab itu kami suka duduk berbincang dan berterus-terang.
“Untungnya kami ini sudah saling kenal cara masing-masing, jadi ia sebenarnya lebih memudahkan kami berkomunikasi dan mengatasi sesuatu masalah,”katanya.
Pada masa yang sama, akui Ellya, disebabkan keserasian yang terwujud, dia dan Nelysa tidak terfikir untuk menambah anggota lain untuk bergerak sebagai sebuah kumpulan.
“Kami sependapat bahawa persabahatan yang terbina sudah lama dan kami ini terlalu rapat. Kalau ada ahli baharu saya bimbang kami sukar untuk serasi.
“ Ketika bersekolah kami ada menubuhkan kumpulan, tetapi disebabkan jadual yang sibuk saya rasa lebih mudah untuk bergerak berdua sahaja,”jelasnya.
Dalam pada itu, berkongsi mengenai kehadiran single terbaharu berjudul Langgar, ciptaan Audi Mok dan Shazee Ishak, XONE gembira kerana karya tersebut mencerminkan semangat keberanian yang dibawa mereka.
Ia terutama daripada aspek persediaan mereka dalam
menghadapi apa jua kecaman termasuk soal imej, suara dan sebagainya.
Perkara ini dijelaskan oleh Nelysa dari sudut kaca matanya yang mana baginya, sebagai artis dan penyanyi, tentu akan ada sahaja manusia yang akan bercakap belakang mengenai diri mereka.
Pun begitu, katanya, setiap kritikan sebenarnya adalah pelajaran yang mematangkan perjalanan seni mereka dan seharusnya mereka rasional dan berani mengambil risiko itu.
“Semua orang akan kena. Walaupun anda tidak terkenal pun, akan ada beberapa pihak yang akan petik perkara yang anda lakukan.
“Menerusi lagu Langgar, kami isikan dengan mesej ini. kita harus ada keberanian. Lagu ini adalah seruan untuk bangkit dan terus melawan,” katanya.
Pada masa yang sama, Nelysa turut memberitahu bahawa mereka selesa dengan imej pop punk yang dibawakan mereka kini sebagai duo.
Malah, andai ada yang mengkritik, perkara itu juga bukan satu masalah buat mereka lantaran diri sendiri lebih tahu apa yang bersesuaian buat imej mereka yanh masih lagi remaja.
“Segala komen negatif, rasanya itu semua tidak penting. Orang suka atau tidak, ini adalah kami. Ini memang imej kami.
“Kami sudah bersedia andai ada yang mengecam. Lagipun kami tahu bukan semua orang suka dengan suara mahupun penampilan kita. Kita tidak boleh puaskan hati semua orang. Jadi, ‘langgar’ sahaja,”ujarnya.