Tikam ibu saudara: Remaja 14 tahun mengaku tak bersalah

Tikam ibu saudara: Remaja 14 tahun mengaku tak bersalah

REMAJA perempuan berusia 14 tahun (tengah) yang didakwa mencederakan ibu saudaranya sendiri diiringi oleh dua anggota polis ketika tiba di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang, hari ini.-UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM : Seorang remaja perempuan mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap ibu saudaranya menggunakan pisau, Jumaat lalu.

Remaja berusia 14 tahun itu membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan dalam satu sesi prosiding yang dijalankan secara tertutup di sini, hari ini.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap seorang wanita berusia 34 tahun dengan menggunakan sebilah pisau.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah flat di Jalan Prai Jaya dalam daerah Seberang Perai Tengah kira-kira pukul 11.30 pagi pada 3 Januari lalu.

Atas kesalahan tersebut, dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfadzly Hassan manakala pesalah kanak-kanak itu diwakili peguam, Muhaimin Hashim.

Terdahulu, ketika prosiding, Zulfadzly mencadangkan wang jaminan sebanyak RM5,000, namun, Muhaimin dalam mitigasi rayuannya memohon agar jaminan minimum dikenakan kepada tertuduh dengan alasan dia adalah pesalah kanak-kanak selain mahu bersekolah semula bagi sesi akademik akan datang ini.

Mohd. Harith kemudian membenarkan remaja perempuan itu diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin serta meletakkan syarat tambahan iaitu tidak dibenarkan mendekati atau mengganggu mangsa serta saksi kejadian.

Pada masa yang sama, beliau turut menetapkan 20 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi tujuan serahan dokumen perubatan serta forensik.

Dalam kejadian itu, mangsa cedera di bahagian perut selepas ditikam oleh suspek yang juga anak saudaranya ketika berada di ruang tamu susulan satu pertengkaran mulut antara mereka kerana suspek dikatakan ingin tinggal semula dengan ibu kandungnya namun dihalang mangsa.

Ketika ditahan, remaja tersebut juga didapati positif dadah jenis methamphetamin.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya