JOHOR BAHRU: Tiga individu termasuk seorang wanita didakwa di dua Mahkamah Majistret secara berasingan di sini hari ini kerana membunuh dan bersubahat membunuh seorang wanita di Skudai, pada 1 Disember lalu.
Tertuduh, Soo Siau Soon, 31, hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana pertuduhan itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian ke atas seorang wanita tempatan berusia 43 tahun di depan sebuah kuil di Batu 8 1/2, Skudai di sini, pada pukul 12.50 tengah malam, 1 Disember lalu.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret berasingan, Heng Tang Lee, 48, dan C. Susila, 45, pula didakwa bersubahat menyebabkan kematian mangsa di tempat dan waktu yang sama dan pengakuan kedua-dua mereka tidak direkodkan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, A. Shaarmini.
Atas kesalahan itu, kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun beserta sebat tidak kurang 12 kali jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Tang Lee turut mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu membuang sebelah bilah gunting ke dalam paya dan memiliki pistol tanpa lesen sah di kawasan paya, Taman Tampoi Utama, di sini pada pukul 3.40 petang, 15 Januari lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan serta Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun, denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya.
Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 19 Mac depan bagi sebutan semula kes serta lantikan peguam oleh tertuduh.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nik Noratini Nik Azman manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam. – UTUSAN