KOTA TINGGI: Tiga lelaki yang ditemukan lemas selepas kereta dinaiki mereka terbabas dan dihanyutkan ketika meredah banjir dalam kejadian di Ladang YPJ, Ulu Sedili di sini petang semalam sering memancing bersama-sama.
Kenalan mangsa yang mahu dikenali sebagai Lee, 50, berkata, ketiga-tiga mereka selalu meluangkan masa bersama untuk memancing terutamanya pada hari cuti.
Menurutnya, kesemua mangsa sering ke laut untuk memancing namun dalam keadaan musim monsun ketika ini mereka masuk pula ke kawasan ladang.
“Mereka semua memang suka memancing, bila hari cuti mereka akan berjumpa untuk luangkan masa memancing bersama. Saya difahamkan mereka tidak tahu kawasan ladang itu dinaiki air.
“Saya sendiri takut lihat video tempat kejadian yang ditunjukkan kawan. Air memang sangat tinggi,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi, di sini hari ini.
Terdahulu dalam kejadian itu, tiga sahabat dikenali sebagai Lee Fook Wan, 48, Lee Choy Yeow, 49, dan Leong Kon Fatt, 72, lemas selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas ke dalam parit sebelum dibawa arus.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, ketika kejadian pada pukul 3.35 petang semalam itu, ketiga-tiga mangsa bersama dua lagi rakannya dalam perjalanan pulang memancing.
Menurutnya, ketika melalui lokasi kejadian, pikap Toyota Land Cruiser yang dinaiki ketiga-tiga mangsa tersangkut ke dalam lumpur dan ketika kejadian juga berlaku banjir di kawasan tersebut.
“Dua rakan mangsa yang menaiki kereta pacuan empat roda Toyota Hilux cuba membantu dengan menarik Toyota Land Cruiser sebelum trak pikap itu masuk ke dalam parit dan terus ditenggelami air dengan keadaan arus yang deras.
“Pengadu dan rakannya telah bertindak keluar dari Toyota Hilux dan cuba untuk menyelamatkan ketiga-tiga mangsa dengan bertindak memecah tingkap di sebelah kiri hadapan dan berjaya mengeluarkan salah seorang dari mangsa di mana mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Pengadu cuba untuk menyelamatkan baki dua orang mangsa lain tetapi tidak berjaya kerana terperangkap di dalam kenderaan yang dimasuki air,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Yusof berkata, mangsa telah terjumpa dan mendapatkan bantuan daripada seorang pekerja ladang YPJP Sedili dan telah dibawa ke pos pengawal seterusnya menghubungi pihak Bomba Kota Tinggi.
Tambahnya, pegawai perubatan Hospital Kota Tinggi yang tiba ke lokasi kejadian telah mengesahkan mangsa pertama telah meninggal dunia.
Katanya, usaha pencarian oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) diaturgerak seawal pukul 6:10 petang untuk mencari baki dua mangsa yang masih hilang.
“Hasil pencarian, kedua-dua mangsa telah dijumpai terperangkap di dalam Toyata Land Cruiser dan berjaya dibawa naik ke darat masing-masing pada pukul 11:07 malam semalam dan 12:14 tengah malam tadi,” katanya. – UTUSAN