GOMBAK: Polis menembak mati tiga penjenayah yang aktif dalam kegiatan samun dan mencuri kenderaan jenis pacuan empat roda (4×4) dalam Op Lejang di Kota Emerald, Rawang di sini hari ini.
Operasi bermula kira-kira 12.30 tengah hari itu dijalankan oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, operasi tersebut susulan risikan polis sejak tahun lalu membabitkan kumpulan yang aktif mencuri kenderaan jenis 4×4 dan samun di beberapa buah negeri.
Beliau berkata, kumpulan penjenayah sejak sekian lama menggunakan kereta sewa dan meletakkan nombor pendaftaran palsu bagi melakukan jenayah terutama mencuri kenderaan.
Katanya, kumpulan itu kemudian akan menjual kenderaan yang dicuri ke negara jiran.
“Risikan JSJ mendapati kumpulan tersebut hari ini merancang melakukan jenayah dan polis bertindak memberhentikan kenderaan dinaiki mereka.
“Bagaimanapun, suspek kemudian melarikan diri dan melepaskan tembakan sebelum dikejar pihak polis hingga Persiaran Kota Emerald.
“Kita berjaya menembak mati ketiga-tiga suspek kira-kira 750 meter dari lokasi pertama kenderaannya ditahan,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi kejadian.
Menurutnya, dua suspek berusia 40 dan 43 tahun adalah dikehendaki polis manakala identiti seorang lagi suspek belum dapat dikenal pasti.
Katanya, seorang suspek mempunyai 24 rekod jenayah dan lima kes dikehendaki manakala seorang lagi ada 44 kes lampau dan tujuh rekod dikehendaki.
“Polis turut menemukan sepucuk pistol Revolver, satu semi automatik, dua unit peralatan menyahaktifkan penggera kenderaan, satu wayar, dua topeng muka, lima nombor pendaftaran palsu, pita pelekat dan satu paket dipercayai syabu,” katanya.
Beliau berkata, siasatan mendapati kumpulan itu terbabit dengan enam kes membabitkan 17 kenderaan dalam tempoh 18 hari, tahun ini.
Katanya, ia membabitkan lima kes di Melaka; Perak dan Negeri Sembilan masing-masing empat, Selangor (3) dan Pulau Pinang (1).
“Modus operandi kumpulan terbabit apabila seorang daripada ahli meninjau kenderaan yang ingin dicuri sebelum mereka menggunakan peralatan untuk menyahaktifkan penggera kereta.
“Mereka hanya mengambil masa kira-kira 10 minit untuk melakukan jenayah itu,” katanya.- UTUSAN