KLANG: Tiga parah akibat melecur teruk selepas sebuah gudang penyimpanan gas, jentera berat serta kilang pemprosesan tembaga terbakar dekat Taman Aman Perdana hangus dalam satu kejadian di sini, malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, kebakaran tersebut bermula pada gudang penyimpanan gas iaitu sebuah bangunan separa sambung (Semi D) tiga tingkat.
Menurutnya, api kemudian merebak sehingga menyebabkan gudang penyimpanan jentera berat yang berkeluasan kira-kira 140 meter persegi serta kilang pemprosesan tembaga.
“Kedua-dua bangunan itu hangus 80 peratus. Bangunan Semi-D 3 tingkat kelas A. Kebakaran merebak ke bangunan sebelah yang merupakan gudang penyimpanan jentera berat kilang bahagian belakang iaitu kilang memproses tembaga berkeluasan 140 meter persegi terbakar 20 peratus.
“Komander Operasi lapor kebakaran melibatkan tujuh orang mangsa lelaki bukan warganegara. Tiga mengalami cedera parah akibat melecur. Bagaimanapun, empat mangsa berjaya menyelamatkan diri,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambahnya, kebakaran berjaya dipadam kira-kira pukul 2 pagi selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.55 tengah malam dan menggerakkan sepasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Klang Utara dan dibantu oleh BBP Klang Selatan, Andalas, Bukit Jelutong, Kapar, Damansara dan Pelabuhan Klang.
Ahmad Mukhlis memberitahu, mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk menerima rawatan. – UTUSAN