Tiga maut nahas empat buah kenderaan termasuk lori

Tiga maut nahas empat buah kenderaan termasuk lori

KEADAAN nahas membabitkan empat buah kenderaan yang mengorbankan tiga nyawa di Kilometer 226.5, Lebuhraya Utara Selatan (arah Utara), dekat Rembau, pagi tadi. - GAMBAR/IHSAN POLIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Tiga individu maut manakala enam lagi cedera parah dalam nahas membabitkan empat buah kenderaan termasuk sebuah lori di Kilometer 226.5, Lebuhraya Utara Selatan (arah Utara), di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Rembau, Superintenden Shaik Abd Kadar Shaik Mohamed berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 5.40 pagi itu, dua mangsa maut di lokasi kejadian iaitu pemandu lori,

Mohd. Esa Daharin, 73, beralamat di Taman Sri Ramal, Kajang, Selangor dan kelindan lori yang merupakan warganegara Bangladesh, Md Usuf Ali, 44.

Seorang lagi mangsa meninggal dunia semasa tiba di Hospital Rembau iaitu penumpang kereta Honda City, Terence Ng Zhi Yang, 21, beralamat di Jasin, Melaka, yang merupakan pelajar Kolej Sunway di Kuala Lumpur.

“Berdasarkan siasatan, kemalangan membabitkan empat buat kenderaan iaitu lori membawa muatan tanah dan bunga dinaiki tiga individu, sebuah kereta jenis Honda City dinaiki empat individu, kereta jenis BMW dinaiki tiga individu dan sebuah lagi kereta jenis Toyota Vios dipandu seorang lelaki warganegara Myanmar.

“Siasatan awal mendapati, pemandu lori dalam perjalanan dari arah Ayer Keroh, Melaka menghala ke Senawang memandu di lorong kiri. Sebaik sampai di tempat kejadian lori berkenaan telah hilang kawalan dan melanggar besi penghadang sebelah kanan jalan dan seterusnya terbabas ke kiri jalan.

“Pada masa yang sama, kereta jenis Honda City yang datang dari arah belakang memandu di lorong kanan, tidak sempat mengelak lalu melanggar lori seterusnya kereta BMW dan Toyota Vios dari arah belakang tidak dapat mengelak lalu berlanggar secara berturutan,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Ujar Shaik lagi, seorang lagi kelindan lori iaitu lelaki berusia 40 tahun juga warganegara Bangladesh cedera parah manakala pemandu kereta Honda City serta dua lagi penumpang termasuk seorang perempuan mengalami kecederaan parah dan kini menerima rawatan lanjut.

“Pemandu dan penumpang kereta Honda City berkenaan kesemuanya dipercayai pelajar. Dalam kejadian ini, pemandu kereta jenis BMW iaitu lelaki berusia 29 tahun dan juga seorang penumpang mengalami kecederaan parah serta dikejarkan ke hospital bagi rawatan lanjut.

“Kesemua mangsa yang maut akan menjalani bedah siasat di Unit Forensik Hospital Rembau bagi mengetahui punca kematian,” katanya yang memberitahu kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.

Susulan kemalangan berkenaan, sepasukan 17 orang anggota bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota dan BBP Tampin digerakkan ke lokasi kejadian bagi mengeluarkan mangsa dari kenderaan yang terbabit dalam kemalangan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya