TAWAU: Tiga mangsa mengalami sesak nafas dalam kebakaran yang memusnahkan 60 rumah di perkampungan atas air di Kampung Sri Aman, Batu 3 Jalan Apas, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.46 pagi itu, ketiga-tiga mangsa yang berusia 14 hingga 49 tahun yang mengalami sesak nafas telah diberi rawatan awal di lokasi kejadian oleh pasukan EMRS.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jeminshin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 7.46 pagi dan sepasukan 55 anggota dari BBP Tawau dan Kunak dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak pada jarak enam kilometer dari BBP Tawau.
Turut membantu dalam operasi memadam kebakaran adalah Bomba Komuniti Titingan yang terdiri daripada tujuh anggota.
Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian didapati 60 buah rumah di kawasan seluas 0.4 hektar musnah sepenuhnya dalam kebakaran tersebut.
“Operasi pemadaman dari jentera pertama menggunakan satu aliran 500 kaki dan jentera kedua membuat pemadaman menggunakan dua aliran 600 kaki empat pancutan manakala satu lagi pemadaman menggunakan satu aliran 600 kaki. Sumber air diperolehi dari jentera bomba dan pili bomba,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, setelah memastikan tiada bahaya lain yang wujud dilokasi operasi ditamatkan pada pukul 11.20 pagi. – UTUSAN