Tiga lelaki ditahan bantu siasatan kes pukul OKU mental - Utusan Malaysia

Tiga lelaki ditahan bantu siasatan kes pukul OKU mental

TANGKAP layar video memaparkan beberapa individu memukul seorang lelaki kategori orang kurang upaya (OKU)  mental selepas terlanggar salah sebuah gerai jualan dengan motosikalnya di Pasar Tani Padang Astaka Chukai, Kemaman, Terengganu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Polis menahan tiga lelaki bagi membantu siasatan kes pukul seorang lelaki kurang upaya (OKU) kategori mental di Pasar Tani Padang Astaka Chukai, di sini, semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintenden Wan Muhamad Wan Ja’afar berkata, lelaki berusia 18 tahun hingga 60 tahun itu ditahan kira-kira pukul 8 malam tadi ketika hadir memberi keterangan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman.

“Tiga lelaki termasuk seorang peniaga dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan kes ini. Siasatan secara menyeluruh sedang dilakukan dan kita akan mengambil kira segala aspek. Kita minta saksi yang melihat kejadian itu untuk tampil bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi.

Wan Muhamad berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Ditanya mengenai keadaan mangsa, Wan Muhamad berkata, lelaki berusia 47 tahun itu mengalami cedera ringan dan diserahkan kepada ahli keluarganya.

“Kita turut menasihatkan keluarga mangsa supaya menguruskan dan menjaga mangsa agar kejadian ini tidak berulang,” katanya.

Semalam, media melaporkan seorang lelaki mental berusia 47 tahun cedera ringan selepas dipercayai dipukul dan disepak oleh beberapa individu dipercayai peniaga dan pembeli kira-kira pukul 9.30 pagi menyebabkan suasana di pasar itu tegang dan kecoh seketika.

Kejadian dipercayai berlaku selepas lelaki itu yang menunggang motosikal memasuki tapak jualan pasar tani, terlanggar salah sebuah gerai jualan menyebabkan makanan yang dijual terjatuh. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya