PETALING JAYA: Malaysia akan memperkenalkan tiga inisiatif dalam usaha merealisasikan matlamat pembangunan mampan di peringkat ASEAN.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, tiga inisiatif tersebut ialah penyahkarbonan tenaga, perlindungan biodiversiti dan penghubungan ekonomi.
Katanya, usaha itu penting untuk mencapai matlamat pembangunan bersama dan memposisikan ASEAN sebagai peneraju global dalam kemampanan serta daya tahan.
“Keutamaan pertama kami adalah peralihan kepada grid tenaga rendah karbon yang saling berkait dan dikuasakan terutamanya oleh sumber tenaga boleh diperbaharui (RE).
“Transformasi ini bukan sahaja satu keperluan alam sekitar tetapi juga keperluan strategik. Ia adalah kunci untuk mencapai sasaran penyahkarbonan sambil memastikan keselamatan tenaga di seluruh rantau ini,” katanya menerusi teks ucapan sempena Bengkel Pembangunan Mampan ASEAN (AWSD) di Universiti Sunway, hari ini.
Menurut Fadillah, bagi mencapai matlamat itu, analisis strategik dan perancangan dengan menilai permintaan tenaga semasa serta akan datang perlu dilakukan.
“Selain itu, Malaysia perlu mengenal pasti kapasiti sumber tenaga boleh diperbaharui dan menilai infrastruktur sedia ada bagi mengatasi jurang sedia ada.
“Saya gembira mendengar bahawa kerja ini sedang dijalankan di Universiti Sunway di bawah Projek ASEAN Green Future SDSN. Saya mengikuti perkembangannya dengan teliti dan menanti-nantikan laluan yang akan disarankan untuk manfaat bersama negara-negara ASEAN,” jelasnya.
Dalam pada itu Fadillah berkata, Malaysia dapat memperkukuh Pusat Biodiversiti ASEAN untuk menyelaras usaha pemuliharaan, menyelaraskan dasar negara dan mewujudkan perjanjian perlindungan biodiversiti yang komited kepada amalan penggunaan tanah yang lestari.
“Kami juga memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur moden yang terintegrasi untuk memperkukuh integrasi ekonomi dan kesalinghubungan ASEAN.
“ASEAN yang terhubung adalah ASEAN yang lebih kuat. Antara inisiatif yang perlu kita terokai adalah pembangunan rel kelajuan tinggi yang menghubungkan bandar utama ASEAN; pelabuhan dan pengangkutan hijau serta akses universal kepada 5G di kawasan bandar dan luar bandar untuk merapatkan jurang digital,” ujarnya. – UTUSAN