JOHOR BAHRU: Tiga ahli kumpulan dikenali Geng Atan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas tuduhan melakukan pecah rumah, bulan lalu.
Tertuduh, Mah Mun Fei, 46; Liew Siong Khan, 42 dan Teo Kiam Hong, 48, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam Bahasa Mandarin di hadapan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin.
Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka didakwa melakukan perbuatan itu dengan niat ingin mencuri harta milik seorang lelaki, iaitu televisyen di sebuah rumah di Jalan Mutiara Emas 2/17, Taman Mount Austin, di sini pada pukul 8.20 malam, 11 Disember lalu.
Mereka didakwa di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Ketiga-tiga individu terbabit turut menghadapi pertuduhan lain secara berasingan.
Mun Fei mengaku tidak bersalah menerima atau menyimpan harta curi, iaitu sekeping kad pengenalan atas nama seorang wanita di lokasi, masa dan tarikh yang sama, manakala Siong Khan turut mengaku tidak bersalah atas tuduhan melupuskan harta curi, iaitu dua bentuk cincin emas, seutas rantai emas dan satu loket batu emas milik seorang wanita di sebuah kedai emas di Jalan Kota Tinggi-Jalan Pandan di sini, pukul 4 petang, 14 Disember lalu.
Dia didakwa di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika disabit kesalahan.
Kiam Hong pula mengaku tidak bersalah bagi lima pertuduhan, iaitu menerima atau menyimpan harta curi, iaitu sebentuk cincin dan dua gelang tangan milik seorang lelaki serta memiliki nombor pendaftaran kenderaan lain.
Dia turut didakwa menyimpan harta curi, iaitu kereta Honda H-RV milik seorang wanita, dengan sengaja melupuskan harta curi, iaitu sebuah peti besi milik seorang wanita dan menyimpan sebuah beg jerut warna hitam dan beberapa alat permainan video milik seorang lelaki.
Semua perbuatan itu didakwa dilakukan di sekitar Bandar Baru Permas Jaya; Taman Mount Austin dan Jalan Harmonium 27, di sini pada 12 November 2019, 11 Disember dan 15 Disember lalu.
Dia didakwa di bawah Seksyen 411 dan Seksyen 414 Kanun Keseksaan serta Seksyen 29(1) Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nik Noratini Nik Azman dan Siti Aishah Latif serta sebutan semula kes ditetapkan pada 14 Februari depan bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.
Semua tertuduh dibenarkan ikat jamin, iaitu Mun Fei sebanyak RM7,000, Siong Khan (RM8,000) dan Kiam Hong (RM25,000).
Ketiga-tiga tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengambil dadah amphetamine serta methamphetamine di dua Mahkamah Sesyen.
Mereka didakwa di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39C (1)(b) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan tiga kali sebatan, jika disabit kesalahan. – UTUSAN